Penduduk Wuhan mulakan lembaran baru, tiga tahun selepas pandemik COVID-19
Penduduk Wuhan di China pada Isnin (23 Jan) berkata mereka mengharungi masa depan dengan lebih yakin diri dan penuh harapan, tidak lagi takut dengan COVID-19, tiga tahun selepas bandar itu dikenakan perintah berkurung gara-gara virus tersebut.

WUHAN: Penduduk Wuhan di China pada Isnin (23 Jan) berkata mereka mengharungi masa depan dengan lebih yakin diri dan penuh harapan, tidak lagi takut dengan COVID-19, tiga tahun selepas bandar itu dikenakan perintah berkurung gara-gara virus tersebut.
Sejak Beijing mengarahkan perintah sekatan dilaksanakan di Wuhan dalam usaha membendung penularan pandemik pada Januari 2020, COVID-19 merebak dengan pantas di seluruh dunia, menyebabkan jutaan kematian, menjerumuskan ekonomi global ke dalam kemelesetan.
Namun kehidupan kini kembali normal bagi ramai penduduk di merata dunia dan selepas hampir tiga tahun berdepan dengan sekatan pergerakan dan ujian besar-besaran, Beijing memansuhkan dasar sifar COVID-19 pada bulan lalu.
Sedang China menyambut Tahun Baru Cina minggu ini, keadaan di Wuhan kini jauh berbeza berbanding ketika pandemik COVID-19 mula mencengkam bandar dengan 11 juta penduduk itu pada awal 2020.
Para penduduk memberanikan diri menempuh suhu amat sejuk untuk pergi ke pasar yang sibuk dan sesak dengan keluarga, dengan ada yang tidak lagi memakai pelitup.
Ramai yang memberitahu AFP bahawa mereka gembira kerana keadaan sudah kembali normal.
"Tahun baru ini tentu sekali lebih baik," kata Yan Dongju, seorang pekerja pembersihan dalam lingkungan 60-an tahun kepada AFP.
"Kami tidak lagi takut dengan virus itu."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.