Skip to main content

Dunia

Penduduk Washington bantah tindakan Trump kerah askar ke kawasan bandar

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Washington bantah tindakan Trump kerah askar ke kawasan bandar

Perarakan 'We Are All D.C' (Kami semua DC) itu disertai oleh golongan pendatang tidak berdaftar, aktivis pro-Palestin dan kumpulan-kumpulan lain. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 07 Sep 2025 07:06AM Dikemas Kini : 07 Sep 2025 07:12AM

WASHINGTON: Ribuan orang berarak di ibu kota Amerika Syarikat, Washington DC pada Sabtu (6 Sep) bagi mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya berhenti mengerahkan anggota Pengawal Negara  yang meronda jalan-jalan raya di bandar itu.

Perarakan 'We Are All D.C' (Kami semua DC) itu disertai oleh golongan pendatang tidak berdaftar, aktivis pro-Palestin dan kumpulan-kumpulan lain yang melaungkan slogan dan membawa sepanduk yang tertera "Trump perlu berundur sekarang," "Bebaskan DC" dan "Menentang Kezaliman."

"Saya berasa di sini bagi membantah pendudukan tentera di DC," salah seorang penunjuk perasaan, Alex Laufer.

"Kami membantah rejim pemerintahan kuku besi, dan kita perlu usir polis persekutuan dan Pengawal Negara dari jalan-jalan raya."

PERTIKAIAN DATA JENAYAH

Encik Trump mengerahkan Pengawal Negara pada bulan lalu untuk "memulihkan semula undang-undang, ketenteraman dan keselamatan awam," di samping meletakkan Jabatan Polis Metropolitan di bawah kawalan persekutuan dan mengerahkan pegawai imigresen ke kawasan bandar.

Namun perangkaan oleh Jabatan Keadilan menunjukkan jumlah kes jenayah kekerasan pada 2024 berada di tahap terendah dalam tempoh 30 tahun di Washington, yang berfungsi sebagai sebuah daerah persekutuan yang mentadbir sendiri di bawah Kongres.

Lebih 2,000 Pengawal Negara termasuk dari enam wilayah yang dipimpin parti Republican, dikerahkan buat masa ini, dengan operasi mereka dilanjutkan hingga ke 30 November.

CABARAN UNDANG-UNDANG DAN ANCAMAN CHICAGO

Peguam Negara DC Brian Schwalb memfailkan tuntutan mahkamah yang menyatakan penempatan itu tidak mengikut perlembagaan.

Walaupun sesetengah penduduk menyokong pengerahan Pengawal Negara, ramai mengkritik kehadiran askar-askar itu di kawasan pusat bandar dan pelancongan.

Encik Trump bahkan memberikan bayangan tentang tindakan keras yang lebih meluas, mengancam untuk mengerahkan pegawai persekutuan ke Chicago.

Gabenor Illinois J.B. Pritzker menuduh Encik Trump bersiap sedia melakukan "pencerobohan" dengan ejen-ejen ICE dan kenderaan tentera.

Kepimpinan Demokratik Chicago berikrar untuk menentang langkah itu.

Sumber : Reuters/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita