Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Sungai Lalang runsing berdepan gangguan berlarutan bekalan air

"Kami dah penat dengan masalah air".

Anggaran Waktu Membaca:

SUNGAI PETANI: "Kami dah penat dengan masalah air".

Itu antara luahan penduduk di Taman Seri Bayu, Sungai Lalang berhubung gangguan bekalan air yang berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hafizuddin Harun, 36 tahun, berkata, situasi itu menyebabkan penduduk terpaksa bergantung kepada penghantaran bekalan air menggunakan lori dari rumah ke rumah, menurut laporan Sinar Harian.

Beliau yang bekerja di Pulau Pinang berkata penghantaran bekalan air tanpa jadual penggiliran dan jumlah penduduk terjejas yang ramai menyebabkan mereka terpaksa menunggu sejak awal pagi semata-mata untuk dapatkan bekalan air terus dihantar ke rumah.

Sementara itu, Zulkarnan Abu Bakar, 48 tahun, berkata ketiadaan air menyukarkan aktiviti harian khususnya untuk beribadah, membersihkan diri sebelum keluar bekerja dan anak-anak yang ingin ke sekolah.

"Mereka dakwa tangki bocor sebab itu kawasan ini selalu tak ada air.

"Kadang-kadang bekalan air ada waktu pagi sahaja tetapi hanya dua, tiga jam sahaja sebelum habis," jelasnya, seperti dinukil Sinar Harian.

Masalah bekalan air turut menjejaskan Nurhidayah Ibrahim, 34 tahun, yang mempunyai seorang bayi perempuan, Natasya Zaharah, 18 bulan yang bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.

Menurutnya, penjagaan bayi yang memerlukan penjagaan eksklusif itu terjejas memandangkan Nurhidayah perlu memastikan bekalan air mencukupi untuk keperluan rumah serta anak-anak lain ketika suami keluar bekerja.

Selain itu, Aminah Hassan, 61 tahun, berkata akibat tidak tahan dengan masalah air yang berlarutan, kebanyakan penduduk memasang pam khas yang bertujuan untuk meningkatkan tekanan bagi membolehkan air disalurkan ke dalam tangki dengan cepat sebagai simpanan yang boleh digunakan ketika berlaku gangguan.

"Sebelum ini kami tidak mahu tetapi bila kebanyakan penduduk dah mula pasang selain umur meningkat, penat nak angkut air masuk ke rumah setiap kali bermasalah, kami terpaksa sediakan kos pemasangan pam khas antara RM300 (S$96) hingga RM400 (S$128)," jelasnya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Afidah Ahmad, 31 tahun, berkata biarpun masalah air seperti tidak berkesudahan, namun kerja-kerja pembinaan rumah baru di kawasan berdekatan dilihat sedang rancak dibangunkan.

"Rumah sedia ada di sini sering berdepan gangguan bekalan air, bagaimana nanti bila rumah baru siap, kami pun tak tahu apa akan jadi nanti," katanya.

Masalah sama pernah dilaporkan di akhbar pada Februari dan Oktober pada tahun lalu dan ia mendapat perhatian beberapa pemimpin yang turun padang. Namun begitu, isu yang sama masih berlarutan.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan