Penduduk pendalaman M'sia terjejas teruk dek kawalan pergerakan
Penduduk pendalaman M'sia terjejas teruk dek kawalan pergerakan.
(Gambar-gambar: Petikan dari video)
JOHOR BARU: Setiap hari, Fairdarus Abdul Rahim keluar ke laut ketika masih gelap lagi, sebelum kembali dengan hasil tangkapannya, menjelang terbit matahari.
Nelayan 39 tahun ini kemudian menjual hasil tangkapannya di jeti, di Johor Baru, tidak jauh dari laluan kedua Tuas.
Perniagaan di sini sebelum ini rancak tetapi sejak kebelakangan ini, tiada pembeli yang datang.
"Masalah COVID ini jadi yang ikan nak jual tak boleh, nak jual kadang tak habis kita simpan untuk hari esok, sampai ikan itu tak segar.
"Masalah itulah COVID sekarang. Kalau macam hari biasa tak ada COVID ini macam 100 peratus kita dapat, kalau macam musim COVID ini tinggal 50 peratus macam itu," luah Encik Fairdaus
Menurut Fairdaus, pasar kini lengang dengan para pengunjung dari merata Johor Baru dan dari seberang tambak, kini tiada lagi.
Encik Shalan Jum’at,35 tahun yang menguruskan pasar itu berkata para peniaga di sana perlu bekerjasama untuk terus bertahan.
"Macam kami daripada pasukan Pasar Pendekar Laut ini bekerjasama antara satu sama lain. Macam lepaskan ikan itu, terlalu banyak dan harga itu turunkan. Kira bermaksudnya, selalu kita jual RM50 (S$17) kita pergi ke RM30 (S$10), RM35 (S$11). Janji ikan itu lepas sahaja, daripada ikan itu buang ke laut," kata Encik Shalan.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, para pemilik pasar mengeluarkan RM80,000 (S$26,000) untuk membeli hasil tangkapan nelayan yang kemudian diagihkan kepada golongan miskin dan mereka yang susah.
Tetapi langkah itu tidak dapat bertahan dan para nelayan kini bergelut untuk mencari sesuap nasi.
Itulah kebimbangan yang dilalui di merata kawasan pendalaman di Malaysia.
Pusingan demi pusingan PKP di Malaysia menjejas teruk kehidupan penduduk kampung yang tinggal jauh daripada kawasan bandar.
Bagi penduduk di kawasan pendalaman seperti Tanjung Kupang, mereka harus berjalan jauh ke farmasi atau stesen minyak - hingga 10 kilometer. Sekatan jalan yang dikenakan sewaktu COVID sangat membebankan.
Kehidupan mereka terjejas - takut disaman hanya kerana ingin mendapatkan keperluan harian.
Menurut para pemerhati, PKP lebih mengasingkan masyarakat kampung daripada golongan lain, dengan ramai penduduk kampung kini begitu terjejas dari segi ekonomi dan mental.
Ini, menurut Dr Serina Rahman, zamil pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, turut menjejas mental para penduduk.
"Sebab kalau dah ada sekatan jalan selama setahun, kita rasa macam tertekan di sini, kenapa tak boleh keluar, kenapa sekatan jalan tak dibuka?
"Jadi ini, kesihatan mental tak diukur. Kita tak fikir juga ia ada kesan. Selain daripada itu, mereka terpaksa ikat perut, tak boleh belanja sangat, memang pendapatan dah kurang," kata Dr Serina.
Pakej-pakej bantuan ekonomi sudah dilancarkan pihak berkuasa Malaysia di kedua-dua peringkat negeri dan persekutuan.
Tetapi lebih banyak lagi perlu dilakukan untuk memastikan bantuan itu sampai kepada mereka di kawasan pendalaman.
Ramai daripada mereka masih bergelut dengan teknologi selain berdepan masalah pengasingan dan berusaha untuk terus hidup.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.