Skip to main content

Dunia

Penduduk New York sertai tunjuk perasaan terhadap serangan Amerika ke atas Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk New York sertai tunjuk perasaan terhadap serangan Amerika ke atas Iran
Orang ramai paparkan papan tanda ketika menghadiri tunjuk perasaan terhadap serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, dalam perhimpunan di Times Square, daerah Manhattan Borough di New York City, Amerika Syarikat pada 28 Feb 2026. (Gambar: Reuters/Heather Khalifa)
NEW YORK: Ratusan penduduk New York berhimpun di Times Square dan kemudian berarak di sepanjang jalan di New York City sebagai menunjuk perasaan terhadap serangan udara yang diselaraskan oleh Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran pada Sabtu (1 Mac), lapor Xinhua.

Peserta tunjuk perasaan mengutuk serangan terbaharu ke atas Iran dan menggesa agar wang dibelanjakan untuk pendidikan, perumahan dan keutamaan domestik yang lain.

Orang ramai membawa sepanduk dengan tulisan "Hentikan Perang Terhadap Iran," "Tiada Peperangan Pertukaran Rejim," "Trump Mesti Pergi Sekarang" dan sebagainya.

Penunjuk perasaan turut melaungkan slogan "Sokong pembebasan, hapuskan pendudukan" dan slogan-slogan lain.

"Kita tidak boleh lupa bahawa Amerika mempunyai lebih 5,000 peledak nuklear yang sedia untuk dilancarkan. Amerika yang menghalakan peledak nuklear itu ke arah bandar dan ladang orang biasa seperti anda dan saya di seluruh dunia," kata Layan Fuleihan, pengarah pendidikan di The People's Forum, sebuah pertubuhan sosialis dan inkubator pergerakan yang berpangkalan di New York City.

"Iran tidak mendatangkan ancaman kepada Amerika. Kami tidak akan terpedaya dengan penipuan yang digunakan untuk memperdayakan kami 20 tahun lalu," kata Fuleihan dalam ucapan pada perhimpunan itu.

Sama sekali tidak ada alasan dan tiada pekerja, tiada keluarga di Amerika Syarikat ini yang mengatakan mereka bangun setiap hari dan berasa takut kepada Iran, kata Fuleihan. "Ini bukan realiti negara ini."

"Serangan ke atas Iran oleh Donald Trump dan komplotnya yang gilakan perang adalah jenayah politik paling besar, menyalahi undang-undang antarabangsa dan melanggar Perlembagaan Amerika secara langsung," menurut risalah yang diedarkan pada perhimpunan itu yang dikaitkan dengan David North, pengerusi Parti Kesaksamaan Sosialis di Amerika.

Presiden Amerika Donald Trump sudah meletakkan Amerika dan seluruh dunia di atas landasan yang membawa bencana dan peperangan itu tidak akan menyelesaikan krisis dalaman masyarakat Amerika, mahupun memulihkan kemerosotan berpanjangan dalam kedudukan global kapitalisme Amerika kata Encik North.

Pemerintah Amerika adalah kuasa imperialis paling agresif dalam sejarah, dan ini hanyalah satu lagi peperangan imperialis, kata pesara guru ekonomi dan dasar luar di New York City, Marilyn Vogt-Downey.

Lebih banyak tunjuk perasaan menentang perang ke atas Iran dirancang di New York City sahaja, dalam masa beberapa hari akan datang, menurut penganjur yang hadir pada perhimpunan itu.
Sumber : Bernama/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita