Penduduk Muslim, Kristian Iraq ganding bahu bangunkan semula masjid & gereja
Projek membaik pulih rumah ibadah sedang dijalankan agar masjid dan gereja dapat kembali berdiri megah seperti sedia kala.
Warga berbeza agama hidup harmoni di Mosul. (Gambar: Reuters)
IRAQ: Kawasan kota lama di Mosul, Iraq utara, sedang dibersihkan.
Projek membaik pulih rumah ibadah sedang dijalankan agar masjid dan gereja dapat kembali berdiri megah seperti sedia kala.
Masjid dan gereja, dan tentu saja rumah-rumah penduduk musnah akibat serangan kumpulan pengganas ISIS yang merebut kota di tepi Sungai Tigris itu pada pertengahan 2014.
Antara tahun 2016 dengan 2017 tercetus perang antara ISIS dengan pasukan perikatan yang berakhir dengan pembebasan Mosul. Kawasan kota lama itu seperti tidak dapat dikenali lagi selepas itu.
Tempat tinggal penduduk, gereja dan masjid, yang berdiri bersebelahan selama berabad-abad, habis musnah. Usaha membaik pulih kota lama itu dilakukan di bawah penyeliaan badan pendidikan, sains, dan kebudayaan PBB (Unesco).
Salah satu tumpuan Unesco adalah untuk membangunkan semula masjid dan gereja di kota itu.
Dalam proses tersebut, Unesco menggalak warga Muslim dan Kristian supaya bergotong-royong membangunkan semula dan memperbaiki tempat ibadah di sana.
WARGA KRISTIAN BANGUNKAN MASJID, WARGA MUSLIM BANGUNKAN GEREJA
"Kami menggalak warga Kristian untuk bekerjasama membangunkan kembali masjid dan sebaliknya kami juga mendorong warga Muslim untuk membangunkan kembali gereja.
"Itulah salah satu tujuan projek ini - iaitu mengukuhkan perpaduan semua warga," kata Omar Yasir Adil Taqa, penolong penyelaras Unesco di Mosul, seperti yang dipetik laman BBC Indonesia.
Hidup bersama penuh harmoni adalah salah satu semangat kota Mosul. Kebersamaan dan persaudaraan dihormati oleh warga Muslim, Kristian, dan Yazidi yang tinggal di kota itu, kata Emad Sabri Abdulahad, penyelia keamanan Unesco.
"Kami hidup bersama di sini," ujar Encik Abdulahad.
Anas Ziad, pegawai Unesco yang terlibat dalam projek membaik pulih rumah ibadah di Mosul mengatakan selama sekitar tiga tahun ISIS memisahkan warga Muslim dan Kristian.
"Namun sekarang kami dapat bersama lagi, bersama-sama antara warga Muslim, Kristen, dan Yazidi membangun kembali Mosul," kata Encik Ziad, menurut BBC Indonesia.
Semangat perpaduan itulah yang ingin digalakkan ketika membangunkan semula masjid dan geraja.
Masjid yang dibangunkan semula itu adalah Masjid al-Nuri.
Bangunan dan menaranya yang miring pernah menjadi lambang kota Mosul. Namun masjid itu dihancurkan oleh anggota ISIS ketika ia diserang pada 2017.
Taqa, penolong penyelaras Unesco, mengatakan ISIS sengaja cuba menghancurkan Mosul dan dalam proses itu ingin pula menghancurkan sejarah kota tersebut.
Cik Taqa mengatakan para pekerja memindahkan lebih 5,600 tan serpihan yang berselerakan di kompleks masjid.
Selain itu, para penduduk dan pekerja pula harus memindahkan sekitar 20 bahan peledak, yang sebahagiannya milik ISIS yang ditanam di dalam tembok masjid.
ANTARA SERPIHAN, ADA HARAPAN
Sedang para pekerja membangunkan kembali masjid dan gereja, mereka juga melakukannya dengan penuh berhati-hati. Seboleh mungkin mereka menggunakan bahan-bahan asli.
Selain membangunkan semula masjid al-Nuri, Unesco juga membangun kembali gereja al-Saa'a dan al-Tahera.
Menara masjid al-Nuri pernah menjadi salah satu lambang kota Mosul. (Gambar: Reuters)
Di kompleks gereja al-Saa'a para pekerja membersihkan bangunan dari meriam kecil, periuk api dan mayat-mayat penduduk. Ketika menguasai Mosul, ISIS menggunakan gereja itu sebagai salah satu kubu pertahanan.
Salah seorang penyelaras Unesco, Omar Ali, memberitahu BBC, masih dapat dilihat kesan-kesan kewujudan ISIS di sana satu ketika dahulu.
"Anda boleh melihat tali-tali...kami mendengar laporan bahawa mereka menggantung orang-orang di sini," kata Encik Ali.
"Kehidupan di sini beransur normal," tambah Encik Ali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.