Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Muar lega air bah mula surut selepas 4 hari 'terkepung'

Penduduk lima kampung di Muar menarik nafas lega apabila laluan utama untuk ke bandar itu sudah boleh dilalui kenderaan berat dan lori selepas empat hari 'terkepung' dengan limpahan air sungai.

Anggaran Waktu Membaca:

MUAR: Penduduk lima kampung di Muar menarik nafas lega apabila laluan utama untuk ke bandar itu sudah boleh dilalui kenderaan berat dan lori selepas empat hari 'terkepung' dengan limpahan air sungai.

Kampung terbabit iaitu Kampung Tulang Gajah, Kampung Gombang, Kampung Lenga, Kampung Batu 29 Lenga dan Kampung Jawa, yang menempatkan ratusan keluarga, dilanda banjir sejak Rabu lalu (5 Jan).

Tinjauan Bernama bersama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pagoh mendapati laluan di Kampung Saujana Batu 29 menghala Bukit Kepong dan Kampung Jawa ke Lenga sudah mula dilalui pagi ini (8 Jan) selepas air sungai yang melimpah di kawasan itu surut.

Bagaimanapun, beberapa rumah di kawasan itu masih ditenggelami air sedalam satu hingga dua meter. Namun, penduduk kelihatan sudah mula pulang ke rumah masing-masing untuk membersihkan dan meninjau keadaan kediaman mereka.

Bagi Mohammad Lazim Abdul Hamid, 72 tahun, pembukaan laluan itu memudahkan dan membolehkan lebih banyak bantuan diterima oleh penduduk kawasan terbabit selepas empat hari 'terperangkap.'

"Walaupun kami tidak boleh keluar tetapi masih boleh terima bantuan bekalan makanan daripada agensi kerajaan dan kita agihkan pula kepada penduduk lain yang terkesan akibat banjir kerana kurang berkemampuan dan tidak bekerja.

"Apabila laluan ini sudah dibuka, mana-mana penduduk yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda boleh keluar membantu mendapatkan bekalan makanan dan melihat rumah mereka yang sebelum ini dinaiki air," kata warga emas itu kepada Bernama hari ini.

Pegawai Daerah Muar Mustafa Kamal Shamsudin pula berkata 10 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di daerah itu, yang menempatkan 1,188 orang daripada 346 keluarga dari 23 kampung.

Beliau berkata banjir sudah mula surut dan mengalir ke arah Kampung Sabak Aur di Muar dan menjangkakan kawasan itu dinaiki air dalam masa terdekat.

"Ini memang tradisi banjir dan kita sudah mula buka PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Maharani pada 1 Jan lepas sebagai persediaan.

"Bagi kawasan Muar, kami membuka pusat operasi di Kompleks Penghulu Mukim Lenga untuk memudahkan pengagihan barangan makanan dan proses menyelamat dijalankan kerana kawasan ini banyak kampung yang terjejas," katanya.

Setakat 2.00 petang Sabtu, lima sungai di Johor masih mencatatkan paras bahaya - satu di Segamat, tiga di Muar dan satu di Mersing.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan