Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk M'sia dinasihati guna pelitup, payung dan topi bagi elak kesan langsung jerebu

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan pelitup, payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas dan jerebu, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata mereka juga perlu menghadkan aktiviti fizikal lasak kerana ia boleh meningkatkan risiko penyakit akibat cuaca panas dan jerebu.

“Hadkan masa berada di luar bangunan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu,” katanya dalam kenyataan susulan keadaan negara dilanda cuaca panas yang memberi kesan kepada mutu udara dan suhu ambien di beberapa kawasan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata jerebu dijangka lebih serius pada tahun ini berbanding dalam tempoh tiga tahun lalu apabila aktiviti peladangan dan industri kembali beroperasi seperti sedia kala.
Berdasarkan pemantauan status cuaca panas oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) semalam, terdapat beberapa kawasan dilaporkan berada di Tahap Amaran 1 (berjaga-jaga) dan tiada kawasan dilaporkan berada di Tahap Amaran 2 (gelombang haba).

Dr Zaliha turut meminta orang ramai supaya menutup tingkap bagi mengurangkan partikel jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

“Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman,” katanya.

Beliau berkata langkah pencegahan lain bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan menyusuli cuaca panas dan jerebu adalah penggunaan penyaman udara dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

“Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. Ini bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan mengawal atur suhu badan.

“Kerapkan mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan,” katanya sambil menambah, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan