Skip to main content

Dunia

Penduduk M'sia dinasihat elak aktiviti luar rumah jika tiada keperluan

Anggaran Waktu Membaca:
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti luar rumah sekiranya tiada sebarang keperluan bagi menggelakkan serangan strok haba.

Menteri Kesihatan Malaysia Dr Zaliha Mustafa memaklumkan, pihak kementerian sentiasa memantau perkembangan situasi cuaca panas di negara itu dari masa ke semasa.

“Nasihat yang pertama, tentunya kalau tiada keperluan sebab di luar rumah suhu lebih terdedah dan haba yang tinggi, maka duduklah dan beraktiviti dalam rumah.

“Kalau tak, cari tempat yang teduh supaya kita terhindar dari dedahan haba yang tinggi. Yang kedua, akibat dari haba tinggi juga boleh menyebabkan dehidrasi.

"Kita gantikan kehilangan air melalui dehidrasi dengan minum air yang banyak,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Putrajaya pada Rabu (3 Mei), lapor agensi berita Astro Awani.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menasihatkan mana-mana individu yang memiliki gejala strok haba agar segera mendapatkan rawatan di pusat rawatan kesihatan berdekatan.

“Jika seseorang rasa pitam atau nak pengsan, kelesuan, keletihan atau suhu badan yang tinggi, maka sila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Itu antara nasihat saya untuk orang ramai,” katanya, dipetik daripada Astro Awani.

Menurut laporan Astro Awani, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau tahap kesihatan dari masa ke semasa serta memakai pakaian yang menyerap haba ketika beraktiviti di luar rumah.

GELOMBANG HABA M'SIA

Di Malaysia, sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak disahkan meninggal dunia akibat strok haba.

Pada Jumaat (28 Apr) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan bahawa lima kes penyakit berkaitan cuaca panas dilaporkan, dengan satu kes strok haba yang menyebabkan kematian, lapor Berita Harian Malaysia.

Kanak-kanak yang meninggal dunia akibat strok haba itu dilaporkan berada di Kelantan.

Beberapa kawasan di Malaysia juga dilaporkan berada pada Tahap Amaran 1 sekitar hujung minggu lalu. Ini bermakna orang ramai dinasihatkan supaya berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 darjah Celsius hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sehubungan itu, orang ramai juga digesa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat cuaca panas.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita