Skip to main content

Dunia

Penduduk larang kebumi mayat penyerang nekad Surabaya di kejiranan mereka

Amarah penduduk Surabaya yang digemparkan dengan siri serangan bom nekad masih belum reda dan baru-baru ini, penduduk bandar itu dikatakan enggan membenarkan mayat para penyerang dikebumikan di kejiranan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk larang kebumi mayat penyerang nekad Surabaya di kejiranan mereka

Tapak di mana polis memutus untuk mengebumikan jenazah, tetapi dilarang penduduk. (Gambar: JUNI KRISWANTO/AFP)

Diterbitkan : 19 May 2018 11:19AM Dikemas Kini : 19 May 2018 11:25AM

SURABAYA: Amarah penduduk Surabaya yang digemparkan dengan siri serangan bom nekad masih belum reda dan baru-baru ini, penduduk bandar itu dikatakan enggan membenarkan mayat para penyerang dikebumikan di kejiranan mereka.

Keputusan pihak polis melakukan pengebumian di tanah perkuburan tempatan kerana mayat penyerang tidak dituntut keluarga mereka dibantah keras oleh para penduduk.

“Kami terpaksa menangguhkan pengebumian mereka," kata Ketua Polis Jawa Timur Encik Machfud Arifin.

12 orang terbunuh dalam serangan di Surabaya itu termasuk kanak-kanak lelaki, 15 tahun, yang juga penduduk di kejiranan tempat tanah perkuburan berkenaan.

Seorang pegawai tempatan, Encik Yunus, berkata bahawa beliau memahami perasaan penduduk di situ.

“Memang saya faham perasaan mereka semua. Seorang mangsa penduduk di sini. Gereja ini juga sebahagian daripada kami.

“Dan kini mereka mahu mengebumikan penyerang berkenaan di sini? Keluarga mereka sendiri tidak mahu menuntut mereka, jadi kenapa pula mereka patut dikebumikan di sini?” kata beliau.

Datuk Bandar Surabaya Tri Rismaharini berkata, beliau menghubungi Majlis Ulama Indonesia untuk mendapat pandangan mengenai apa yang perlu dilakukan dengan jenazah tersebut.

Penduduk di satu lagi kejiranan di pinggir Surabaya turut menolak pengebumian Tri Ernawati, ibu empat anak yang meletupkan diri bersama suami serta anak-anaknya di sebuah balai polis, Isnin lalu (14 Mei).

Bagaimanapun, pegawai tempatan, Encik Kukuh Santoso tidak bersetuju dengan pandangan penduduk.

“Dia sudah mati - apa lagi yang boleh dilakukannya? Di mana kemanusiaan kita?

“Memang serangan itu satu tragedi tetapi fikirlah juga perasaan keluarganya yang pasti terkejut mendapat tahu dia seorang penyerangnya,” kata beliau.

Serangan di tiga gereja berasingan dan sebuah balai polis oleh dua keluarga yang dikaitkan dengan rangkaian pelampau tempatan menggemparkan negara itu baru-baru ini. 

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita