Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Kuantan berbuka puasa di padang selepas 2 tahun ditutup

Anggaran Waktu Membaca:

KUANTAN: Setiap kali Ramadan tiba, padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 pasti menjadi lokasi tumpuan untuk masyarakat setempat berbuka puasa. 

Namun, selepas pandemik COVID-19 melanda, padang tersebut ditutup dari kunjungan orang ramai selama dua tahun.

Penularan COVID-19 sejak 2020 menyebabkan aktiviti berbuka puasa beramai-ramai tidak dibenarkan dalam usaha menyekat penularan wabak tersebut.

Bagaimanapun, Ramadan tahun ini, Kerajaan Negeri Pahang membenarkan berbuka puasa diadakan di padang berkenaan setelah Malaysia kini berada di dalam fasa peralihan ke arah endemik, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, lapor Astro AWANI. 

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan Hamdan Hussin berkata, keputusan itu sangat menggembirakan orang ramai kerana lokasi tersebut sangat ikonik dan mempunyai daya tarikan untuk dikunjungi.

"Pada 1 April, kita pun telah diberi kebenaran, tetapi untuk membuka padang ini kepada awam, kita perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Jadi, berdasarkan pembentangan SOP yang telah kita beri, telah mendapat kelulusan. Syukur Alhamdulillah, ini semua untuk warga Kuantan.

"Dan semestinya, ini merupakan satu nostalgia, detik yang tidak boleh dilupakan oleh setiap warga Kuantan," kata Hamdan.

Dari tinjauan yang dilakukan Astro AWANI, orang ramai didapati sangat teruja apabila aktiviti berbuka puasa di padang dibenarkan.

Bagi penjawat awam Mohamad Hafidz, berbuka di padang MBK 1 umpama satu tradisi dan dia sangat berbesar hati dapat meneruskannya walaupun perlu membuat tempahan terlebih dahulu.

"Kelebihan di sini adalah masjid, iaitu masjid utama negeri Pahang," katanya, merujuk kepada Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 Kuantan yang terletak berdekatan.

"Kemudian, ada Bazar Ramadan. Ini adalah bazar yang boleh dikatakan terbesar dan terbaik di Kuantan ini.

"Jadi, ia seperti satu 'port' rasmi, atau tempat wajib singgah. Sekali setahun pun, dalam bulan Ramadan sahaja pun, sudah memadai," katanya, seperti dinukil Astro AWANI. 

Bagi Hamizan Musa pula, dia amat rindu untuk berbuka di padang itu dan kali ini tidak melepaskan peluang yang lama dinantikan olehnya sekeluarga.

"Ia sesuatu yang sangat menggembirakan saya. Sebab, sudah dua tahun tidak ada aktiviti berbuka di padang ini.

"Bagi saya, berbuka puasa di padang ialah sesuatu yang menarik. Ia juga sebagai satu produk pelancongan di negeri Pahang," katanya.

Bagi Ain Shahirah, yang merupakan pengunjung kali pertama, dia berasa bertuah kerana berpeluang berbuka puasa di padang itu setelah dua tahun tidak dibenarkan.

"Saya rasa sangat gembira sebab ini kali pertama saya berada di sini. Sebelum ini, ada kawan yang bercerita, tempat ini sangat meriah tetapi sudah dua tahun kosong.

"Kali ini, Alhamdulillah, seronok kerana saya dapat berpuasa berbuka bersama kawan-kawan di sini," kata penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah itu.

MBK menyediakan 140 petak di padang tersebut dengan bilangan maksimum 12 orang setiap petak untuk tujuan berbuka puasa yang dibuka dari 6.00 petang sehingga 8.30 malam.

Para pengunjung perlu membuat tempahan dengan MBK terlebih dahulu untuk mengadakan majlis berbuka puasa di padang itu dan tidak dikenakan sebarang bayaran, menurut laporan Astro AWANI. 

Antara SOP yang perlu diikuti adalah, pengunjung perlu membawa tikar sendiri.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan