Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Kota Bharu ambil langkah pakai pelitup susuli bacaan tinggi pencemaran udara

Anggaran Waktu Membaca:
KOTA BHARU: Kualiti udara di sekitar bandar Kota Bharu yang terjejas berikutan keadaan berjerebu membuatkan orang ramai mula mengambil langkah memakai pelitup untuk mengelak sebarang risiko terhadap kesihatan mereka.

Seorang guru Rosmalaili Abdul Rahman, 43 tahun, berkata dia mengambil langkah memakai semula pelitup apabila mengetahui udara terutamanya di kawasan Kota Bharu merekodkan bacaan tidak sihat pada Ahad (16 Apr).

Katanya lagi, dia khuatir dengan keadaan jerebu ketika ini akan mengundang pelbagai masalah kesihatan termasuk sakit tekak, batuk, lelah dan sebagainya sekiranya tidak mengambil langkah penjagaan awal.

"Disebabkan keadaan cuaca yang tidak sihat ketika ini juga membuatkan saya turut meminta empat anak saya yang berusia antara lapan hingga 17 tahun untuk memakai pelitup ke sekolah.

"Selain mengambil langkah penjagaan diri sendiri dan keluarga, orang ramai juga perlu memainkan peranan untuk membendung fenomena ini daripada menjadi lebih teruk termasuk tidak melakukan pembakaran terbuka dan sebagainya," katanya kepada Bernama pada Isnin (17 Apr).

Pada Ahad, Kota Bharu dan Tanah Merah mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat dengan bacaan 107 dan 104.

Seorang wartawan sambilan Hazira Ahmad Zaidi, 34 tahun, berkata skop tugasannya yang perlu berada di luar hampir setiap masa untuk membuat liputan berita membuatkan dia terpaksa memakai pelitup ketika membuat tugasan.

"Sejak kebelakangan ini saya mudah berasa sakit tekak dan batuk sekali sekala berkemungkinan disebabkan cuaca yang kering dan jerebu ketika ini, namun setelah memakai pelitup gejala berkenaan dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi I Medikel Pharmacy Faiz Syahiran Mohamad berkata jualan pelitup di farmasi berkenaan semakin meningkat sekali ganda berbanding kebiasaannya sejak beberapa hari lalu.

"Sejak kebelakangan ini, jualan pelitup kembali laris dan meningkat sekali ganda susulan rata-rata masyarakat mula mengambil langkah penjagaan apabila berlaku jerebu di negeri ini.

"Malah, tindakan itu juga sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan wabak COVID-19, terutamanya ketika negara bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan