Skip to main content

Dunia

Penduduk kondominium Country Garden di Johor bimbang projek tidak akan selesai dibina sedang pemaju hartanah China hadapi krisis hutang

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Bandar metropolitan yang sibuk, dengan menara berbentuk kapal angkasa dikelilingi kehijauan adalah apa yang patut disaksikan di kawasan projek perumahan Forest City di Johor Bahru hari ini.

Namun, ia hanya gambaran buat warga Singapura Chee Pei Lin, empat tahun selepas berpindah ke pangsapuri dua bilknya yang berharga RM700,000 (S$204,779) pada 2019.

Tertarik dengan harga hartanah yang murah dibandingkan di Singapura dan prospek menggunakan pangsapuri seluas 635 kaki itu sebagai rumah persaraan, Cik Chee memberitahu Mediacorp beliau rasa kecewa dengan pembangunan yang perlahan di sekitar blok pangsapuri di Ataraxia Park dan pusat bandar berdekatan.

Cik Chee, yang bekerja dalam sektor kewangan, menambah bahawa berita terbaru tentang syarikat pemaju hartanah projek Country Garden, di China mungkin muflis meningkatkan kebimbangannya.

Khususnya, dia bimbang bahawa pembinaan baki pembangunan Forest City tidak akan diselesaikan dan kawasan di mana dia menetap akan terus menjadi "bandar hantu terbiar".

KRISIS HUTANG PROEJK COUNTRY GARDEN DI AUSTRALIA, MALAYSIA

Krisis hutang Country Garden di China menjadi topik utama di seluruh dunia sedang syarikat itu merupakan pemaju terbesar negara itu berdasarkan nilai penjualan sebelum 2023.

Minggu lalu, ia menggantung perdagangan hampir puluhan bon darat, dan membuka jalan kepada rundingan hutang dan pembangunan semula, sedang harga sahamnya menjunam.

Syarikat tersebut dilaporkan mempunyai tempoh 30 hari sehingga awal September untuk melunaskan hutang sebelum ia dianggap muflis.

Perniagaan dan pembinaan syarikat itu tertumpu terutamanya di bandar-bandar seluruh China, namun ia mempunyai anak syarikat di Malaysia yang menyelia tiga pembangunan di Johor.

Ia termasuk projek utama syarikat itu bernilai AS$100 bilion (S$135 bilion), Forest City di Gelang Patah dan satu lagi pembangunan di tepi pantai, Danga Bay, berdekatan Johor Bahru yang mempunyai nilai pembangunan AS$18 bilion (S$24 bilion).

Projek ketiga, Central Park, masih sedang dibina dan pelan induk projek itu bakal siap pada 2024. Ia dianggarkan bernilai RM4.6 bilion (S$1.3 bilion).

Mediacorp bertemu bual dengan 10 penduduk dari kedua-dua pembangunan di Johor, iaitu Forest City dan Danga Bay. Mereka meluahkan kebimbangan bahawa keadaan kewangan syarikat induk China itu akan mempunyai kesan buruk terhadap projek yang bakal disiapkan di Malaysia.

Mereka bimbang ia akan mempunyai kesan langsung kepada nilai hartanah serta persekitaran rumah mereka, disebabkan keputusan yang diambil Country Garden ke atas projek-projek di negara lain.

Menurut laporan berita di Australia, syarikat China yang terdesak itu sedang menjual sebahagian tapak tidak dibangunkan seluas 150 hektar di estet Windermere dengan harga A$250 juta (S$218 juta).

Satu laporan Financial Review juga memetik pemaju itu yang menyatakan ia merancang untuk "menarik balik pelaburan" projek terakhirnya di Australia, Estet Wilton Greens di Sydney yang bernilai A$2 bilion (S$1.7 bilion).

HANYA 15% FOREST CITY DIBINA; PENDUDUK BIMBANG NILAI SUSUT

Dalam kenyataan media pada 2 Ogos, 12 hari sebelum berita Country Garden di China terlepas pembayaran bon dan sahamnya menjunam, Country Garden Malaysia berkata syarikat itu komited untuk meneruskan rancangannya membangunkan Forest City, selaras dengan pelan induknya yang sedia ada sehingga 2025.

Pembinaan projek Forest City bermula pada 2015, dengan sasaran untuk membangunkan empat pulau buatan seluas 20 kilometer persegi.

Sejak itu, separuh dari salah satu pulau, bersamaan 15 peratus kawasan keseluruhan projek Forest City sudah selesai dibina.

Menurut pemaju, sebanyak 28,000 unit kediaman sudah dibina dan setakat ini, kira-kira 9,000 penduduk menetap di Forest City.

PENDUDUK DANGA BAY BIMBANG TIDAK TERIMA HAK STRATA

Pembangunan yang tidak selesai juga mencetuskan bahaya kepada kesihatan, menurut seorang penduduk di satu lagi projek Country Garden, Danga Bay.

Kesemua pembangunan sudah dibina kecuali satu blok kediaman, blok 18, di bahagian King's Bay.

Tapak blok 18 sudah dibina, namun pemandangannya menyakitkan mata dan menjadi tapak pembiakan nyamuk, kata seorang penduduk kepada Mediacorp.

Sejumlah penduduk di merata estet Danga Bay juga meluahkan kebimbangan bahawa mereka mungkin tidak akan menerima hak strata, yang membuktikan mereka pemilik sah hartanah tersebut.

Cik Mukhzin Hamid, seorang warga Singapura, masih belum menerima hak stratanya, meskipun dia sudah menyelesaikan pembelian unit pangsapuri tiga bilik itu pada 2015.

Beliau bimbang unit pangsapurinya mungkin dirampas kerajaan ataupun pegawai syarikat.

Pakar hartanah memberitahu Mediacorp bahawa sekiranya Country Garden Holdings di China muflis dan asetnya dirampas, terdapat kebimbangan bahawa para penduduk di Johor akan melalui proses pentadbiran untuk membuktikan kepada pegawai syarikat bahawa mereka adalah pemilik sah. Proses tersebut memerlukan kos tambahan.

Peguam hartanah NG Vinod dari Law Chambers of VinSa and Ian berkata bahawa pegawai syarikat akan mengenakan yuran "yang mungkin mencecah puluhan ribu ringgit" untuk membuktikan mereka adalah pemilik sah. Perkara tersebut akan menambah kepada beban kewangan mereka.
Sumber : CNA/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita