Penduduk keturunan Asia di California makin bimbang jadi mangsa keganasan senjata api & jenayah kebencian

(Gambar: Megan Varner/Getty Images/AFP)
SAN FRANCISCO: Para penduduk keturunan Asia yang tinggal di California, Amerika Syarikat (AS) jauh lebih risau menjadi mangsa keganasan senjata api dan jenayah kebencian berbanding kumpulan kaum dan etnik lain, memetik laporan Pusat Penyelidikan Dasar Kesihatan UCLA dan Data AAPI.
Dua pertiga daripada orang Asia dan penduduk asli Hawaii serta Kepulauan Pasifik berkata mereka "sangat bimbang" atau "agak bimbang" menjadi mangsa keganasan senjata api berbanding purata 43 peratus kaum lain.
Sebagai perbandingan, 49 peratus responden Hispanik, 45 peratus responden kulit hitam dan 30 peratus responden kulit putih berkata mereka "sangat bimbang" atau "agak bimbang" menjadi mangsa keganasan senjata api.
Laporan itu memetik Tinjauan Temu Duga Kesihatan California 2021, tinjauan tahunan Universiti California, Los Angeles (UCLA) yang menemu bual lebih 20,000 isi rumah di California.
Sebanyak 70 peratus penduduk yang berasal dari Korea paling menyatakan kebimbangan diikuti oleh 66 peratus penduduk yang berasal dari Filipina dan Cina manakala 62 peratus lagi mereka dari Vietnam, lapor Xinhua.
Pengasas Data AAPI dan profesor dasar awam di UC Riverside, Karthick Ramakrishnan, berkata beberapa faktor mungkin menyumbang kepada tahap ketakutan yang lebih tinggi termasuk laporan jenayah kebencian dan insiden kebencian terhadap penduduk Asia semasa pandemik.
Beliau menjangkakan jika kaji selidik sama dijalankan hari ini, sebahagian besar orang Asia akan menyuarakan kebimbangan mengenai keganasan senjata api selepas dua insiden tembakan besar-besaran dalam masyarakat AAPI (Asian American Pacific Islander) di Half Moon Bay dan Monterey Park yang berlaku baru-baru ini.
BACA:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.