Penduduk kampung Melaka bimbang 'diserang' babi hutan
MELAKA: Kira-kira 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di Melaka resah apabila penempatan mereka 'diserang' sekumpulan babi hutan sejak sebulan yang lalu.
Seorang pemilik kebun, Abu Bakar Japar yang berusia 65 tahun, berkata beliau mengalami kerugian apabila pokok pisang dan ubi yang ditanamnya musnah akibat disondol haiwan yang berkeliaran mencari makanan di kawasan kebunnya.
"Rasa seperti hendak putus asa pun ada, sebab sudah berbulan saya usahakan kebun itu," katanya dan menambah beliau juga terpaksa membawa lastik setiap kali keluar rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika diserang haiwan itu.
Seorang lagi penduduk, Rahimah Kassim yang berusia 76 tahun, berkata dia tidak pernah melihat kemunculan babi hutan dengan jumlah yang banyak dan kerap sepanjang lebih 50 tahun tinggal di kampung berkenaan dan kehadiran haiwan itu sejak bulan lealu amat mengejutkan.
"Dah lama mak cik duduk sini. Memang perasan sejak bulan lepas banyak babi hutan berkeliaran. Setiap hari ada sahaja mak cik nampak penduduk berlari ke sana sini kejar babi hutan," katanya pada Isnin (24 Jan).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata perkara itu sudahpun dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka bagi tindakan lanjut.
Tular di laman sosial pada Ahad (23 Jan) klip video dirakam penduduk yang memaparkan babi hutan berkeliaran di hadapan sebuah rumah sehingga menimbulkan suasana cemas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.