Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk kampung ini sudah 40 tahun dibelenggu bau busuk najis babi

"40 tahun kami dok hadap benda ni". Itu rintihan penduduk Kampung Air Melintas Kecil, di sini yang terjejas akibat pembuangan sisa kumbahan babi ke saliran sungai dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat berdekatan kampung itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kampung ini sudah 40 tahun dibelenggu bau busuk najis babi

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 Apr 2019 10:40PM Dikemas Kini : 07 Apr 2019 10:53PM

TASEK GELUGOR: "40 tahun kami dok hadap benda ni". Itu rintihan penduduk Kampung Air Melintas Kecil, di sini yang terjejas akibat pembuangan sisa kumbahan babi ke saliran sungai dari ladang ternakan babi di Kampung Selamat berdekatan kampung itu.

Wakil penduduk, Encik Yusof Othman, 65 tahun, berkata isu tersebut bukan sahaja membelenggu penduduk di kampungnya malah kampung lain turut terjejas.

"Boleh dikatakan punca sisa najis khinzir ini bermula dari Kampung Selamat iaitu tempat ladang ternakan khinzir menuju ke Sungai Kreh di kampung ini sehinggalah ke Kampung Air Hitam (Sungai Dua, Butterworth) kira-kira 12 kilometer dari kampung kami," katanya kepada pemberita di lokasi pembuangan najis babi itu, di sini pada Ahad (7 Apr).

Encik Yusof bersama kira-kira 20 penduduk kampung itu berkumpul di situ dan membawa sepanduk menggesa kerajaan negeri supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak terbabit.

Beliau berkata akibat daripada pembuangan sisa kumbahan babi yang dilepaskan di Sungai Kreh itu menyebabkan saliran parit di kampung mereka tercemar sehingga mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan terutamanya pada waktu malam dan selepas hujan.

"Lebih menyedihkan, sekitar tahun 2003 dan 2011 ketika kampung kami banjir, air naik menyebabkan kami terpaksa samak seluruh rumah untuk mencuci sisa najis khinzir yang tersisa," katanya yang sudah lebih 40 tahun tinggal di kampung tersebut.

Encik Yusof menambah bahawa selain itu, penduduk kampung turut mengalami simptom gatal-gatal badan dan sesak nafas akibat terhidu bau busuk yang disifatkannya seperti 'terkepung' di dalam kawasan yang busuk.

Seorang lagi penduduk kampung itu, yang juga Ketua Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pokok Sena, Ahmad Sulaiman, 69 tahun, berkata, masalah tersebut turut menjejaskan hasil tanaman padi yang diusahakannya.

"Untuk semusim, pesawah dikehendaki mencapai sasaran (di bawah rancangan Pertubuhan Peladang) kira-kira 10 tan untuk bendang seluas satu hektar, namun sejak masalah ini berlarutan hasil tanaman padi telah menjunam sehingga 5 tan kerana padi rosak," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, pihaknya kini memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada pengusaha ladang babi berkenaan untuk menghentikan pembuangan sisa kumbahan di situ.

"Kita nak kuatkuasakan tindakan tersebut melalui Enakmen Penternakan Babi 2016 dan fokus kita adalah supaya pengusaha tersebut menghentikan aktiviti pencemaran sehingga hujung tahun ini," katanya. 

Sumber : Bernama/DY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan