Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Johor alu-alukan cuti hujung minggu ditukar; jangka bawa manfaat buat keluarga dan peniaga

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Johor alu-alukan cuti hujung minggu ditukar; jangka bawa manfaat buat keluarga dan peniaga

Gambar: Zamzahuri Abas/CNA

Diterbitkan : 13 Oct 2024 10:34AM Dikemas Kini : 13 Oct 2024 11:48AM
JOHOR BAHRU: Sejak mula bekerja di Singapura dua tahun lalu, warga Johor Shariff Asrul hanya dapat meluangkan masa berkualiti bersama dua anaknya sekali seminggu - pada setiap Sabtu.

Juruteknik itu bekerja syif pada siang hari di sebuah kilang di Woodlands dari Isnin hingga Jumaat manakala dua anak lelakinya, yang belajar di Sekolah Menengah Permas Jaya di Johor Bahru, tidak bersekolah pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Sultan Ibrahim Iskandar menukar cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu pada Januari 2014 sebagai satu bentuk pengiktirafan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Johor dan Jumaat penting buat mereka.

"Ia agak sukar bagi saya kerana pada hari-hari saya bekerja, saya keluar seawal matahari belum terbit dan pulang bila hari sudah gelap. Dan walaupun saya ada di rumah pada hari Ahad, mereka ke sekolah," kata Encik Shariff, 42 tahun.

Bermula 1 Jan tahun depan, Encik Shariff akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga kerana cuti hujung minggu Johor ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan perubahan itu pada Isnin (7 Okt).

Menurutnya, perubahan tersebut diperkenan Sultan - yang juga di-Pertuan Agong Malaysia sekarang ini.

Keputusan itu juga sudah mengambil kira pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
"Saya menantikannya... akan ada lebih banyak peluang untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, keluar untuk makan, membeli-belah, mungkin juga peluang untuk memandu ke Melaka dan Muar untuk bercuti (pada hujung minggu)," luah Encik Shariff kepada CNA.

Perubahan cuti hujung minggu itu dialu-alukan kebanyakan pihak berkepentingan di Johor termasuk kerajaan negeri, perniagaan dan keluarga di sana.

Ini sekalipun sekurang-kurangnya seorang ahli politik menentang langkah itu manakala sesetengah perniagaan memutuskan untuk tidak mengubah operasi berikutan perubahan itu.
Sebilangan ibu bapa dan perusahaan memberitahu Mediacorp bahawa mereka secara peribadi dan dari segi ekonomi, dapat meraih manfaat daripada langkah itu.

Para pemerhati pula menjangkakan majikan akan membuat aturan yang mencukupi agar pekerja Muslim dapat mengerjakan solat Jumaat.

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi menerusi satu catatan Facebook pada 7 Oktober menyatakan bahawa perubahan tersebut akan menjejas seramai 587,343 dan 1.9 juta penduduk Johor yang bekerja.

Pada 2022, beliau sedia maklum mengenai keluhan yang disuarakan ramai rakyat mengenai hari rehat yang berbeza bagi kerajaan dan sektor swasta.
Gambar: Zamzahuri Abas/CNA
ISU JAGAAN ANAK

Golongan ibu bapa yang bekerja di Singapura seperti Encik Shariff, mahupun mereka yang bekerja dalam sektor swasta di Johor, mengalu-alukan langkah mengubah cuti hujung minggu.

Ini kerana, perubahan itu dijangka membolehkan mereka mengimbangi kerja dan kehidupan dengan lebih baik.

Lebih separuh daripada pelajar di Sekolah Menengah Permas Jaya mempunyai ibu bapa yang bekerja di Singapura, dan kira-kira 25 peratus mempunyai ibu bapa yang bekerja dalam sektor swasta di Johor, di mana hujung minggu mereka jatuh pada hari Sabtu dan Ahad.

Demikian menurut Encik Mohammad Rizan Samsudin, yang mengetuai persatuan ibu bapa-guru sekolah itu.
Encik Mohammad Rizan Samsudin, yang mengetuai persatuan ibu bapa-guru Sekolah Menengah Permas Jaya menghantar anak perempuannya ke sekolah pada 9 Oktober 2024. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Sesetengah ibu bapa terpaksa meminta anak mereka untuk 'ponteng' sekolah pada setiap Ahad bagi memenuhi tanggungjawab seperti kembali ke kampung untuk bertemu saudara-mara mereka, kongsi Encik Rizan lagi.

Ada pula ibu bapa yang tidak mampu mendapatkan pembantu rumah mahupun khidmat jagaan kanak-kanak.

Mereka lantas "tidak mempunyai pilihan lain" kecuali meninggalkan anak mereka bersendirian setiap Jumaat apabila bertugas," tambah Encik Rizan.

Dengan cuti hujung minggu diubah kepada Sabtu dan minggu, mutu kehidupan keluarga dijangka bertambah baik, jelas Dr Lee Hwok-Aun, zamil kanan dari Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura.

LEBIH BANYAK PERBELANJAAN BAGI RIADAH

Langkah itu juga dijangka membawa kesan positif ke atas ekonomi Johor, selain merancakkan industri rekreasi di sana,

Kerjasama antara syarikat-syarikat Johor dengan Singapura turut dijangkakan para penganalisis.

Rakyat Singapura yang melawat negeri itu pada hujung minggu pula dijangka tidak akan banyak terjejas.

Mentelah lagi, perniagaan yang memenuhi keperluan mereka memang dibuka pada hari Sabtu dan Ahad.

Pusat-pusat Permit Masuk Kenderaan - tempat di para pemandu dapatkan tag identifikasi frekuensi radio (RFID) untuk dipasang - juga akan dibuka pada hujung minggu.

Dengan lebih ramai keluarga dapat menikmati lebih banyak masa bersama pada hujung minggu, perbelanjaan dalam sektor riadah dan runcit Johor berkemungkinan bertambah, sekali gus merangsang lagi ekonominya, kata mantan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Ong Kian Ming dan wakil kerajaan negeri Johor Encik Lee Ting Han, kepada Mediacorp.

Dalam pada itu, minggu kerja yang diselaraskan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sektor swasta dan negara-negara jiran seperti Singapura akan membantu meningkatkan produktiviti secara keseluruhan, kata Encik Lee. Beliau merupakan pengerusi jawatankuasa pelaburan, perdagangan, hal ehwal pengguna dan sumber manusia Johor.

Perubahan terbaharu akan menyelaraskan operasi perniagaan, memudahkan urusan mengatur jadual dan penyelarasan untuk perdagangan, logistik dan kewangan, ulasnya lagi.
Encik Lee Ting Han, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan