Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Jawa Barat tergamam; harungi kesesakan trafik sehingga 14 jam sempena cuti Maulidur Rasul

Anggaran Waktu Membaca:
BOGOR: Para pengunjung yang bercuti di kawasan pergunungan Puncak di wilayah Jawa Barat Indonesia berdepan dengan situasi yang tidak dijangka sama sekali apabila mereka mendapati diri mereka terperangkap dalam kesesakan selama 14 jam apabila sedang dalam perjalanan menghala ke atas. Ia bahkan, disifatkan sebilangan penduduk tempatan sebagai kesesakan trafik "paling teruk" pernah dialami mereka.

Kesesakan "yang ngeri" itu, sepertimana yang digambarkan media Indonesia - berlaku pada hujung minggu panjang yang lalu yang berakhir pada Isnin (16 Sep) sempena sambutan Maulidur Rasul. Ia diisytiharkan sebagai cuti umum di Indonesia.

Gambar yang tular di media sosial, menunjukkan kenderaan beratur panjang dengan pemandu dilihat mematikan enjin mereka dan keluar untuk duduk atau tidur di tepi jalan. Ada pula yang siap lengkap membawa beg tidur.

"Kami sudah terbiasa dengan kesesakan lalu lintas Puncak. Tetapi biasanya ia reda selepas beberapa jam. Sekarang saya terperangkap selama kira-kira 14 jam. Dari petang semalam hingga pagi ini," ujar seorang penduduk, yang memperkenalkan dirinya sebagai Ade, kepada saluran berita Detik pada 16 September.

Seorang lagi penduduk yang bernama Yuli mengatakan ini adalah "kali pertama dalam hidupnya" terperangkap dalam kesesakan sedemikian untuk jangka masa yang begitu lama. Dalam satu catatan TikTok yang tular dan menarik lebih dua juta tontonan, Cik Yuli berkongsi dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Puncak sejak 10 pagi pada 15 September ketika dalam perjalanan ke Taman Safari, sebuah taman haiwan terkenal di Bogor.

"2.00 pagi (dan) masih tidak bergerak ... 3.00 pagi," kata Yuli, yang terus terperangkap dalam kesesakan sehingga 16 September pagi dan akhirnya membatalkan kunjungannya ke taman haiwan tersebut.

Mengulas mengenai catatan Cik Yuli, seorang lagi penduduk Puncak mendakwa bahawa "15 September adalah kesesakan lalu lintas terburuk dalam sejarah Puncak".

Memetik kenyataan pihak polis, media tempatan melaporkan pada 16 September bahawa terdapat sejumlah 140,000 kenderaan melintasi kawasan Puncak, dua kali ganda jumlah maksimum yang boleh ditampung oleh jalan dua hala di kawasan itu.

Puncak - yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Jakarta, ibu kota Indonesia - biasanya mengalami kesesakan lalu lintas pada hujung minggu yang berlangsung selama dua hingga tiga jam disebabkan oleh sebilangan besar pelancong dari kawasan Greater Jakarta yang mengunjungi rantau ini, yang terkenal dengan ladang teh dan angin sejuk.

Ia mempunyai jalan berliku sepanjang 22 kilometer di kaki Gunung Gede-Pangrango dari Bogor ke Cianjur, Jawa Barat. Terdapat juga lebih daripada 3,500 hotel dan lebih daripada 4,200 vila yang terletak di rantau ini.

Pada hari biasa, pelancong boleh sampai di rantau ini dari Jakarta dalam masa kurang dari dua jam sahaja.

Selain jumlah kenderaan yang sungguh banyak yang mengunjungi kawasan itu pada hujung minggu yang panjang, pihak polis yang dipetik oleh Detik menyatakan kesesakan tersebut adalah disebabkan oleh tingkah laku penunggang motosikal yang tidak berdisiplin yang tidak sabar lalu bergerak bertentangan dengan aliran lalu lintas.

Ini kemudiannya menyebabkan lalu lintas terhenti.

Menurut laporan Liputan6,com, sekurang-kurangnya seorang pelancong dari Jakarta Timur meninggal dunia pada 15 September akibat kesesakan lalu lintas yang teruk di Puncak. Wanita berusia 56 tahun itu dikatakan keletihan selepas terperangkap dalam lalu lintas selama sembilan jam.

Mayatnya dibawa ke sebuah masjid berdekatan, memandangkan ambulans yang dihubungi untuk membawanya ke hospital terperangkap dalam trafik tersebut. Pihak polis bagaimanapun menafikan wanita terbabit meninggal dunia akibat kesesakan trafik tersebut, tetapi lebih kerana komorbiditinya.
Pelbagai huraian untuk menyelesaikan isu kesesakan di Puncak sudahpun dirancang oleh pihak pemerintah, termasuk pembinaan jalan tol sepanjang 51.8km dari Bogor ke Cianjur yang dianggarkan menelan belanja sehingga 25 trilion rupiah (S$2 bilion) dan disasarkan dibina menjelang 2030.

Huraian lain termasuk pelan pembinaan kereta kabel yang dicadangkan oleh Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Sandiaga Uno pada 2022.

Pada Januari lalu, Encik Sandiaga dipetik oleh Detik sebagai berkata bahawa pelan tindakan pembangunan kereta kabel Puncak disediakan oleh sebuah firma swasta dengan rancangan untuk pelaburan dari negara-negara di Timur Tengah.

Walau bagaimanapun, masih belum diketahui bila projek tersebut akan bermula dan berapa kos yang diperlukan bagi projek itu.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan