Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Jakarta menang tuntutan mutu udara tidak sihat terhadap Pemerintah

Mahkamah daerah Jakarta Pusat pada Khamis (16 Sep) mengarahkan Presiden Joko Widodo dan pemerintahnya supaya mengetatkan peraturan dan melaksanakan penyeliaan dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap mutu udara yang buruk di ibu kota Indonesia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Jakarta menang tuntutan mutu udara tidak sihat terhadap Pemerintah

Kabut menyelimuti bangunan-bangunan perniagaan di ibu kota Jakarta, Indonesia, pada 19 Mei 2021. (Gambar: Ajeng Dinar Ulfiana/REUTERS)

Diterbitkan : 16 Sep 2021 05:39PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 05:40PM

JAKARTA: Mahkamah daerah Jakarta Pusat pada Khamis (16 Sep) mengarahkan Presiden Joko Widodo dan pemerintahnya supaya mengetatkan peraturan dan melaksanakan penyeliaan dan penguatkuasaan lebih tegas terhadap mutu udara yang buruk di ibu kota Indonesia itu.

Dalam keputusan bersejarah itu, mahkamah mendapati presiden itu, Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri Republik Indonesia serta para gabenor Jakarta dan dua wilayah jiran, Banten dan Jawa Barat, sudah melanggar undang-undang dengan membiarkan mutu udara Jakarta terus merosot.

Hakim Saifudin Zuhri, antara mereka yang menyelia perbicaraan kes itu, berkata dalam keputusannya bahawa para defendan sudah "melakukan tindakan yang menyalahi undang-undang".

Kesemua tujuh pihak itu adalah defendan dalam tuntutan mahkamah yang dikemukakan oleh sejumlah penduduk Jakarta. Mereka menuntut pemerintah di kedua-dua peringkat nasional dan daerah memperketatkan piawai mutu udara yang dilihat sebagai terlalu longgar. Mereka juga menggesa pengawasan lebih ketat dan hukuman lebih berat terhadap pesalah.

Mahkamah mengarahkan Presiden Jokowi untuk "memperketat piawai mutu udara negara supaya ia mencukupi untuk melindungi kesihatan orang ramai, alam sekitar dan ekosistem, termasuk kesihatan kumpulan sensitif dalam kalangan penduduk, selaras dengan kemajuan saintifik serta teknologi".

Sementara itu, tiga menteri daripada kementerian-kementerian tersebut sudah diarahkan supaya melaksanakan satu rancangan tindakan bagi menambah baik mutu udara Jakarta. Ini di samping melaksanakan pemantauan lebih ketat ke atas para gabenor Jakarta, Banten dan Jawa Barat berhubung usaha mereka untuk membendung pencemaran.

“Mutu udara di Jakarta sudahpun menjangkaui piawai yang boleh diterima, menimbulkan risiko kepada kesihatan para plaintif yang bahkan boleh membawa kepada kematian mereka. Para defendan menyedari hakikat ini selama bertahun-tahun tetapi tidak mengambil langkah penting untuk memastikan piawai itu dipenuhi," kata seorang lagi hakim, Duta Baskara, dalam keputusan tersebut.

“Kota Jakarta tidak pernah membuat usaha untuk memaklumkan orang awam kawasan-kawasan mana yang terdedah kepada pencemaran udara, risiko yang ditimbulkan terhadap kesihatan awam serta memantau bagaimana kesihatan orang ramai merosot."

Bagi wilayah-wilayah berhampiran Jakarta, Hakim Baskara berkata ia tidak mengenakan pemantauan ketat mahupun hukuman tegas terhadap industri serta individu yang menyumbang kepada pencemaran udara yang kian memburuk di bandar tersebut.

Para defendan masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah daerah itu.

Para plaintif - termasuk penggiat, pekerja pejabat dan pemandu teksi motosikal - memfailkan tuntutan mahkamah pada 2019. Keputusan sepatutnya diumumkan pada 20 Mei tetapi ditunda lapan kali atas pelbagai sebab.

Jakarta kerap dinilai sebagai antara bandar dengan mutu udara paling buruk di dunia, menurut IQAir, badan pemantau indeks mutu udara online. Bacaan mutu udara di kota itu mencatatkan kepekatan tinggi zarah mikroskopik berbahaya yang dikenali sebagai PM2.5.

Sebulan sebelum tuntutan mahkamah itu difailkan, Jakarta dinilai sebagai bandar paling tercemar di dunia menurut IQAir. Ia mengambil alih bandar-bandar yang sangat tercemar seperti New Delhi dan Beijing.

Mutu udara Jakarta bertambah baik semasa pandemik terutamanya apabila pihak berkuasa menguatkuasakan beberapa perintah berkurung untuk membendung penularan COVID-19 pada tahun lalu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan