Skip to main content

Dunia

Penduduk Hong Kong nantikan tawaran berbaik-baik dari Beijing

Para penduduk Hong Kong sudah menyuarakan dengan lantang tuntutan perubahan sepanjang dua minggu lalu dengan pemerintah kalah teruk semasa pilihan raya dan satu daripada setiap sepuluh penduduk mengadakan bantahan secara aman pada Ahad (8 Dis). Namun belum jelas sama ada Beijing akan menyahutnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Hong Kong nantikan tawaran berbaik-baik dari Beijing

Tunjuk perasaan secara aman di Hong Kong pada 8 Disember 2019 (Gambar: AFP/Anthony Wallace)

Diterbitkan : 09 Dec 2019 07:07PM Dikemas Kini : 09 Dec 2019 07:10PM

HONG KONG: Para penduduk Hong Kong sudah menyuarakan dengan lantang tuntutan perubahan sepanjang dua minggu lalu dengan pemerintah kalah teruk semasa pilihan raya dan satu daripada setiap sepuluh penduduk mengadakan bantahan secara aman pada Ahad (8 Dis).

Namun belum jelas sama ada Beijing akan menyahutnya.

Isnin menandakan genap enam bulan gerakan yang memporak-perandakan reputasi keamanan Hong Kong sebagai wilayah separa autonomi China yang stabil, dengan berleluasanya bantahan ganas di jalan-jalan raya.

Namun sepanjang dua minggu lalu, kadar pertempuran dan kerosakan barang berkurangan secara mendadak - suatu syarat yang dituntut para pemimpin Beijing untuk mulakan sebarang dialog bermakna.

Kini persoalan yang bermain di fikiran ramai adalah sama ada ketua eksekutif Carrie Lam, berserta Beijing, akan menyahut keamanan itu dengan rundingan bermakna, sebelum kemarahan tercetus sekali lagi.

"Tidak mengendahkan suara-suara kami akan hanya membuatkan perkara menjadi lebih besar dan besar dan akan ada natijahnya selepas itu," kata Bonnie Leong, salah seorang tokoh lebih sederhana dalam gerakan bantahan itu.

Keadaan aman yang jarang berlaku itu bermula sebelum pilihan raya tempatan pada lewat November - satu-satunya pilihan raya yang boleh disertai semua penduduk dewasa Hong Kong.

Jutaan orang keluar mengundi dan menimpakan kekalahan teruk kepada parti-parti propemerintah, sekali gus menyerahkan 17 daripada 18 majlis tempatan kepada pihak prodemokrasi.

Keputusan pilihan raya itu meranapkan dakwaan pemerintah bahawa "majoriti senyap" membantah tunjuk perasaan selama ini.

Pada Ahad, tunjuk perasaan paling besar sejak beberapa bulan lalu diadakan, dengan para penganjur menganggarkan sekitar 800,000 orang turut serta. Ini bayangan jelas rasa marah orang ramai yang masih tidak terjawab.

Tunjuk-tunjuk perasaan tersebut yang diberi lampu hijau - yang jarang berlaku - dijalankan dengan agak aman. Dua kejadian kebakaran kecil berlaku dan polis menggunakan penyembur lada ke atas orang ramai semasa satu pertengkaran.

Namun tidak sedikit pun gas pemedih mata dilancarkan - pertama kali tunjuk perasaan diadakan bebas asap sejak pertengahan Ogos.

"ORANG YANG SANGAT, SANGAT RAMAI"

Jimmy Sham, dari pihak penganjur Civil Human Rights Front, berkata kini giliran pemerintah pula untuk bertindak.

"Kami ingin mengingatkan pemerintah SAR (Wilayah Autonomi Khas Hong Kong) bahawa 800,000 orang adalah jumlah orang yang sangat, sangat ramai," kata beliau kepada para wartawan.

"Carrie Lam harus dengar tuntutan penduduk Hong Kong secepat mungkin," tambah Encik Sham.

Wilayah separa autonomi Hong Kong dilanda tunjuk perasaan semakin mengganas kebelakangan ini dalam bantahan paling lantang yang diadakan bandar itu terhadap Beijing sejak ia diserahkan oleh Britain pada 1997.

Jutaan keluar menunjuk perasaan dalam bantahan yang dipacu rasa takut bertahun-tahun bahawa China sedang menghakis hak kebebasan bandar itu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita