Skip to main content

Dunia

Penduduk Gaza dakwa temui dadah dalam bantuan makanan

Pihak berkuasa Gaza menggesa siasatan antarabangsa dijalankan selepas pil opioid jenis oxycodone ditemui dalam bungkusan tepung yang diagihkan oleh pusat bantuan yang dikendalikan oleh pertubuhan Amerika-Israel, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Gaza dakwa temui dadah dalam bantuan makanan

Pil opioid ditemui dalam tepung yang diagihkan oleh GHF. (Gambar: X/dr. mohammed hamad)

Diterbitkan : 28 Jun 2025 04:03PM Dikemas Kini : 28 Jun 2025 04:04PM
GAZA: Pihak berkuasa Gaza menggesa siasatan antarabangsa dijalankan selepas pil opioid jenis oxycodone ditemui dalam bungkusan tepung yang diagihkan oleh pusat bantuan yang dikendalikan oleh pertubuhan Amerika-Israel, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Dadah tersebut dipercayai dicampur dalam tepung, menimbulkan kebimbangan serius mengenai kesihatan dan dakwaan ia digunakan untuk melemahkan masyarakat.

Menurut kenyataan pejabat media pemerintah Gaza, sekurang-kurangnya empat penduduk Gaza dilaporkan menemui dadah tersebut dalam bungkusan bantuan makanan, seperti dilapor Astro Awani.

Beberapa saksi mendakwa bahan narkotik itu dihancurkan atau dicampur terus ke dalam tepung.

Oxycodone merupakan ubat penahan sakit yang biasanya digunakan untuk pesakit barah, tetapi ia boleh menyebabkan kesan sampingan serius termasuk halusinasi dan masalah pernafasan.

Seorang ahli farmasi tempatan, Omar Hamad, menyifatkan penemuan itu sebagai "bentuk paling keji bagi pembunuhan beramai-ramai", seperti dilapor Astro Awani.

Sementara itu, seorang doktor di Gaza, Dr Khalil Mazen Abu Nada berkata dadah itu digunakan sebagai "alat untuk menghancurkan kesedaran masyarakat Gaza".

Pihak berkuasa Gaza menuduh Israel menyalah guna sekatan dan operasi bantuan untuk menyeludup bahan terlarang ke wilayah itu.

Ia turut menyifatkan pusat bantuan yang dikendalikan oleh GHF sebagai satu 'perangkap maut'.

Mereka menuntut agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi manusia segera menyiasat perkara itu, seperti dilapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita