Skip to main content

Dunia

Penduduk Felda Ulu Tebrau takut keluar bekerja; harimau masih berkeliaran

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Felda Ulu Tebrau takut keluar bekerja; harimau masih berkeliaran

Tapak harimau yang ditemui di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru. (Gambar: Harian Metro)

JOHOR BAHRU: Para penduduk Felda Ulu Tebrau di Johor Bahru khususnya pekerja ladang dan kebun kelapa sawit dibelenggu ketakutan berikutan ancaman harimau yang masih bebas berkeliaran di kawasan itu.

Seorang penduduk, Mohd Fadzil Mohd Kassim, 56 tahun, mendakwa pekerja kebun dan ladang kelapa sawit terpaksa menghadkan waktu berada di kebun dan ladang kerana bimbang keselamatan mereka.

“Mereka telah dinasihatkan supaya kalau hendak keluar biar beramai-ramai, jangan berseorangan. Buat masa ini ada had dan batas waktu, kalau dulu kerja sampai petang tetapi sekarang kita hadkan hingga tengah hari sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama pada Selasa (2 Mei). 

Encik Mohd Fadzil berharap haiwan liar itu segera ditangkap kerana sumber pendapatan penduduk terjejas berikutan tidak dapat bekerja seperti biasa.

Ab. Jalil Sahlan, 70 tahun, pula berharap tindakan segera dapat dilakukan pihak bertanggungjawab sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

Menurutnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan tapak kaki yang ditemui di kebun kelapa sawit di Felda itu adalah tapak kaki harimau dan akan memasang kamera serta perangkap bagi menangkap haiwan itu. 

“Kita berharap pihak Perhilitan dapat memasang perangkap dan kamera dengan segera, sekali gus bantu penduduk menangani masalah tersebut secepat mungkin,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar penemuan beberapa bangkai lembu dan tapak kaki binatang buas dipercayai seekor harimau di ladang kelapa sawit di Felda berkenaan.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Justice for Wildlife Malaysia (JWM) Nor Arlina Amirah Ahmad Ghani, yang terlibat dalam usaha pemuliharaan hidupan liar ketika dihubungi berkata serangan harimau kerap berlaku pada waktu subuh atau petang dan ada ketikanya tengah hari.

“Mereka yang tinggal di kawasan berdekatan tempat tinggal harimau kena sentiasa berwaspada dan jaga ternakan masing-masing. Kalau ternakan sudah dikandangkan pastikan pagar di bahagian bawah kena rendah (sempit) kerana harimau tidak melompat tapi akan menyusup masuk ikut bawah pagar,” katanya.

Cik Nor Arlina berkata sekiranya berdepan dengan harimau, orang ramai dinasihatkan supaya jangan pusing membelakangkan haiwan liar itu, sebaliknya jalan berundur secara perlahan sambil memerhatikannya. 

“Apabila sudah agak jauh daripada harimau itu, baru lari dan kalau boleh panjat pokok setinggi mungkin,” katanya.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita