Skip to main content

Dunia

Penduduk di selatan Thailand mula jalani kegiatan harian selepas Ribut Pabuk melemah

Para penduduk di bandar selatan Thailand, Nakhon Si Thammarat, mula menjalani kegiatan harian seperti biasa sejak awal pagi tadi (5 Jan) selepas kawasan itu dilanda ribut tropika pada hari sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk di selatan Thailand mula jalani kegiatan harian selepas Ribut Pabuk melemah

Orang ramai ke pasar sehari selepas tidak dapat keluar rumah susuli Ribut Pabuk. (Gambar: Abdul Razak Panaemalae)

NAKHON SI THAMMARAT: Para penduduk di bandar selatan Thailand, Nakhon Si Thammarat, mula menjalani kegiatan harian seperti biasa sejak awal pagi tadi (5 Jan) selepas kawasan itu dilanda ribut tropika pada hari sebelumnya.

Seorang pensyarah dari sebuah universiti tempatan, Encik Abdul Razak Panaemalae memberitahu BERITAmediacorp, orang ramai mula keluar dari rumah dari seawal jam 4.00 pagi (waktu tempatan).

Ini selepas para penduduk sebelum ini berkurung "sehari suntuk" di rumah kerana dinasihati pihak berkuasa untuk melakukan demikian.

Menurut pensyarah Universiti Walailak itu, banyak pokok tumbang akibat ribut tropika Pabuk yang melanda. Beliau juga menyaksikan sendiri angin meniup kencang di kawasan kediamannya.

Petikan gambar catatan Facebook Encik Razak. 

Beliau dan keluarga tidak dapat melakukan apa-apa di rumah selain menunggu arahan daripada pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan berita.

"Bekalan elektrik semalam terputus. Khidmat Internet lambat," ujar Encik Razak. Perkara itu berlaku kerana dipercayai tiang-tiang elektrik rosak akibat pokok-pokok yang tumbang.

"Masih ada angin bertiup dan awan mendung sekarang. Kemungkinan hujan akan mencurah semula," kata Encik Razak.

Encik Razak. (Gambar-gambar: Abdul Razak Panaemalae)

Semalam (4 Jan), para pengkaji cuaca memberi amaran tentang hujan lebat dan tiupan angin kencang di 15 wilayah Selatan Thailand.

Pusat Amaran Bencana Nasional turut membunyikan amaran bahaya di sekitar tempat-tempat peranginan seperti Koh Samui dan Koh Phangan, sambil menggesa orang ramai supaya meninggalkan kawasan dan berpindah ke kawasan tanah lebih tinggi.

PENDUDUK SEGERA KE PASAR BELI BEKALAN RUMAH 

Menceritakan lebih lanjut kepada BERITAmediacorp, Encik Razak berkata, beliau tidak menyangka ramai yang akan ke pasar pagi tadi (5 Jan). Beliau berkunjung ke Pasar Simpang Wadnod di daerah Thasala.

"Saya ke pasar bersama keluarga pagi ini selepas sehari suntuk di rumah semalam. Semalam, cuaca agak buruk. Pokok tumbang. Tapi, hari ini semua sudah kembali seperti biasa," katanya.

"Saya rasa mungkin kerana mereka pun ke pasar untuk beli barang-barang dapur kerana tidak dapat lakukan apa-apa semalam."

Ditanya sama ada berlaku sebarang kemalangan jiwa di kawasan kejiranannya, Encik Razak berkata sejauh ini, tidak ada laporan penduduk yang cedera atau terkorban dalam ribut itu.

"Tetapi saya dengar keadaan agak teruk di kawasan lain. Ada tempat di mana atap rumah tercabut kerana angin kencang. Alhamdulillah di tempat saya tidak begitu," tambah Encik Razak. "Semua duduk di rumah seperti yang dinasihatkan."

RIBUT TROPIKA PERTAMA DALAM TIGA DEKAD 

Ribut Pabuk yang melanda semalam (4 Jan) merupakan ribut tropika pertama di Thailand dalam tempoh 30 tahun.

Ribut Tropika Pabuk berada kira-kira 55 kilometer di barat daya Surat Thani dan sedang bergerak ke arah barat. (Gambar: Bernama)

(Gambar: BERNAMA)

Angin begitu kencang dengan ombak mencapai ketinggian lima meter.

Seorang individu terkorban selepas bot nelayan yang dinaikinya terbalik berdekatan kawasan pantai wilayah Pattani.

Seorang lagi anak kapal dilaporkan hilang, manakala empat lagi terselamat.

Lapangan terbang di kawasan-kawasan terjejas juga ditutup. Antaranya termasuk Lapangan Terbang Nakhon Si Thammarat. Sebuah syarikat penerbangan kos rendah tempatan mengesahkan ia sudah membatalkan semua penerbangan ulang-alik ke wilayah itu.

Lapangan Terbang Surat Thani turut ditutup dari tengah hari semalam (4 Jan) hingga hari ini (5 Jan). 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita