Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk di Perak dengar pergerakan tanah sebelum diarah berpindah

Anggaran Waktu Membaca:
KAMPAR: Para penduduk di Taman Chenderong Jaya, Batu Gajah mendakwa terdengar bunyi seperti pergerakan tanah ekoran hujan lebat berterusan sebelum berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan itu pada petang Khamis (9 Feb).

Tindakan segera penduduk yang membuat aduan setelah terdengar bunyi itu dan arahan pihak berkuasa yang pantas memindahkan penduduk ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tanjung Tualang, menyelamatkan mereka daripada terdedah kepada risiko bencana itu.

Seramai 28 penduduk daripada enam keluarga berlindung di PPS berkenaan yang dibuka pada 10.40 malam pada Khamis dan mereka turut meluahkan rasa syukur atas tindakan pantas semua pihak sebelum kejadian lebih buruk berlaku.

Seorang warga emas Latifa Ahmad, 66 tahun, berkata kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang empat tahun dia tinggal di taman itu dan menyifatkan bencana tanah runtuh itu agak berbahaya serta boleh mengancam keselamatan penduduk.

“Sebelum ini ada berlaku runtuhan kecil dan pihak berkaitan telah memasang batu penghadang dan benteng. Namun kejadian kali ini agak teruk...kami sedar pergerakan tanah itu dari pagi semalam tetapi tidak ketara sangat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS itu pada Jumaat (10 Feb).

Jirannya, Kamarullah Ramli, 39 tahun, pula berkata taman perumahan itu sering dilanda banjir kilat, namun kejadian tanah runtuh adalah pengalaman pertama buatnya setelah lebih 10 tahun menetap di sana.

“Kawasan ini memang kerap terjadi banjir kilat. Setahun hampir berbelas kali berlaku. Saya rasa risiko tanah runtuh ini pun berpunca daripada hujan lebat yang tidak berhenti sejak semalam,” katanya.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah berkata PPS itu dibuka selepas menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan terdengar bunyi seperti pergerakan tanah, susulan itu juga pelbagai agensi keselamatan ke lokasi bagi pemantauan.

Tiada mangsa cedera mahupun kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan tinjauan Bernama mendapati pihak berkuasa telah memasang garisan kuning tanda amaran di kawasan terjejas dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan