Skip to main content

Dunia

Penduduk di M'sia, Indonesia jelma sebagai hantu; takutkan orang ramai agar jangan keluar rumah

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudahpun memasuki fasa kedua sejak Rabu (1 Apr) di Malaysia sedang kerajaan negara itu berusaha untuk membendung penularan virus korona COVID-19 daripada terus menular. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk di M'sia, Indonesia jelma sebagai hantu; takutkan orang ramai agar jangan keluar rumah

(Gambar: Muhd Urabil Alias/Facebook, @PuspitaFM/Twitter)

Diterbitkan : 02 Apr 2020 03:23PM Dikemas Kini : 02 Apr 2020 03:40PM

SINGAPURA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudahpun memasuki fasa kedua sejak Rabu (1 Apr) di Malaysia sedang kerajaan negara itu berusaha untuk membendung penularan virus korona COVID-19 daripada terus menular.

Sungguhpun demikian, masih ada sebilangan orang yang mengambil sikap tidak endah dan terus merayau keluar walaupun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkali-kali merayu supaya semua orang duduk di rumah kecuali bagi urusan amat penting.

Maka itu, sesetengah penduduk mengambil inisiatif untuk membantu pihak berkuasa memastikan orang ramai duduk di rumah dengan cara yang inovatif.

Muhammad Urabil Alias, 38 tahun, seorang penduduk Terengganu, cuba menakutkan jiran tetangganya dengan berpakaian serba putih menyerupai lembaga.

Lelaki itu menyarung jubah putih labuh, lengkap dengan rambut panjang dan janggut yang mengurai untuk kelihatan seperti Gandalf dari "The Lord of the Rings".

Related article image
(Gambar: Muhd Urabil Alias/Facebook)

(Gambar: Muhd Urabil Alias/Facebook)

Ternyata aksinya itu berkesan, menurut Harian Metro.

“Nampaknya, pendekatan itu berjaya kerana ramai yang percaya pada gambar itu dan takut untuk merayau pada waktu malam.

“Apabila saya memuat naik gambar itu ke FB, masing-masing panik dan takut untuk keluar pada waktu malam," kongsi beliau.

Urabil menjelaskan pihak berkuasa kerap meronda kawasan kejiranannya sejak PKP dikuatkuasakan.

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa orang terutamanya anak muda, yang akan keluar pada waktu malam untuk melepak bersama rakan-rakan mereka.

"Harapan saya supaya mereka patuh kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan," ujarnya.

KELIBAT POCONG DI JAWA TENGAH

Kaedah yang sama juga disaksikan di negara jiran, Indonesia.

Dua lelaki berpakaian seperti pocong di sebuah kampung di Jawa Tengah, menurut portal Detik News.

Namun sebenarnya, tujuan mereka berpenampilan sedemikan bukanlah untuk menakut-nakutkan. Jurucakap kampung itu, Angko Setiyarso Widodo, memberitahu Detik News bahawa 'pocong' itu ada tugas rasmi - berjaga di jalan masuk utama Kampung Tuk Songo di Kelurahan, Purworejo, Kecamatan Purworejo.

Related article image
(Gambar: @PuspitaFM/Twitter)

(Gambar: Muhd Urabil Alias/Facebook)

Kedua-dua pocong itu sengaja dikerahkan ke sana untuk menyelia pergerakan penduduk kampung berkenaan atau mereka dari luar tempat tersebut yang mahu keluar masuk kawasan berkenaan.

Kampung Tuk Songo sedang menjalani pengasingan mandiri demi mencegah penularan COVID-19. Ia akan berlangsung sehingga waktu yang belum ditetapkan.

Semua jalan masuk ke kampung itu ditutup dan para penduduknya hanya boleh melalui satu jalan yang dijaga oleh 'pocong-pocong' tersebut.

"Pocong-pocong itu akan memeriksa semua orang yang lalu di pagar kampung tersebut dan menyemburkan cecair pembasmi kuman pada mereka," kata Encik Angko.

"Pocong-pocong itu berada di sana untuk mengingatkan kami tentang kematian. Sesiapa yang keras kepala dan enggan mematuhi langkah-langkah pencegahan COVID-19, mereka mungkin berakhir seperti pocong itu sendiri pada masa kelak," jelas beliau lanjut.

Encik Angko menambah 'pocong-pocong' bertugas hanya pada waktu malam manakala di sebelah siang hari, penduduk lain akan mengawasi pagar masuk tersebut. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita