Penduduk Chengdu China dilarang memandu kereta kotor
Penduduk di Chengdu, bandar barat daya China, menyelar tindakan pemerintah yang melarang anggota masyarakat memandu "kereta kotor".

Larangan memandu kereta kotor di Chengdu membangkitkan kemarahan penduduk. (Gambar: Getty)
CHINA: Penduduk di Chengdu, bandar barat daya China, menyelar tindakan pemerintah yang melarang anggota masyarakat memandu "kereta kotor".
Mulai Selasa (16 Mac), kenderaan yang "jelas kotor, berhabuk atau bersalut lumpur pada bahagian luarnya" atau "habuk di bahagian atas", "lumpur pada bahagian tayar, pelindung rim tayar atau casis" akan dilarang daripada memasuki daerah utama di ibu kota wilayah Sichuan itu, menurut laporan South China Morning Post (SCMP).
Arahan untuk mengawal keadaan kenderaan di jalan-jalan raya itu dibuat oleh empat jabatan pemerintah tempatan dalam usaha mereka membersihakan imej bandar itu.
Ia menyatakan kempen bersihkan kereta itu akan "membaiki mutu udara", "mengekalkan imej bersih bandar itu" dan "mengawal habuk di jalan raya".
Namun, para penduduk meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial bahawa arahan tersebut disifatkan sebagai kawalan berlebih-lebihan ke atas kehidupan mereka.
"Jadi bolehkan saya berjalan di luar jika saya tidak mencuci rambut dan muka saya?" luah seorang pengguna laman Weibo, seperti yang dipetik SCMP.
Malah, sebahagian penduduk berkata larangan itu tidak lain dan tidak bukan hanyalah percubaan untuk menyalurkan perniagaan kepada industri cuci kereta.
Sebahagian yang lain pula menyindir bahawa kempen itu adalah untuk merangsang sektor cuci kereta di bandar tersebut.
Pihak berkuasa menggesa para penduduk supaya lebih rajin mencuci kenderaan mereka dan memaksa pemilik kenderaan komersil supaya memberi jaminan bahawa kenderaan mereka bersih apabila beroperasi.
Lori, bas, teksi dan kenderaan bermeter lain akan menerima denda "lebih berat di bawah peraturan berkaitan" jika kenderaan mereka didapati kotor.
Bagaimanapun, arahan itu tidak menyatakan dengan jelas jenis denda yang dimaksudkan, lapor SCMP.
Kebanyakan pengguna online mengkritik peraturan baru itu sebagai tidak jelas dari segi denda yang akan dikenakan dan tidak kena dengan kenyataan di sekeliling.
"Bagaimana kalau hari hujan? Bagaimana jika kita memandu sebelah
alat pemercik air atau di tapak binaan? Adakah kami berhenti sahaja daripada memandu?" kata seorang lagi pengguna Weibo.
Bandar-bandar lain juga pernah cuba untuk melaksanakan larangan yang sama seperti di Chengdu tetapi berdepan kritikan.
Chengdu sebenarnya bukanlah bandar pertama di China yang memperkenalkan peraturan ketat kebersihan seperti itu. Pemerintah Nanjing, ibu kota wilayah Jiangsu, mencetuskan kemarahan orang ramai pada 2015 apabila ia melaksanakan pelan untuk mengenakan denda ke atas pemilik kenderaan yang kotor.
Bandar itu terpaksa membatalkan rancangan untuk mengenakan denda sehingga 100 yuan (S$21) ke atas pemilik kenderaan berlumpur setelah menerima kritikan demi kritikan daripada masyarakat awam terhadap langkah yang berpunca daripada rasa bimbang terhadap bangunan-bangunan, kemudahan awam dan jalan raya kotor.
Dalam peraturan yang sudah disemak semula, hanya kenderaan komersil sahaja diwajibkan untuk memastikan kenderaan dijaga dan bersih semasa beroperasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.