Penduduk blok apartmen di Sydney yang 'retak' dipindahkan lagi
Para penduduk sebuah blok apartmen tinggi yang baru siap dibina di Sydney, yang dipindahkan akibat "bunyi rekahan" daripada bangunan itu pada 24 Dis, dipindahkan lagi pada Khamis (27 Dis) sedang para jurutera berusaha "sehari suntuk" untuk mengatasi isu itu.
Polis dan khidmat kecemasan memindahkan sekitar 300 orang dari bangunan 'retak' di Sydney. (Gambar: Saeed Khan/AFP)
SYDNEY: Para penduduk sebuah blok apartmen tinggi yang baru siap dibina di Sydney, yang dipindahkan akibat "bunyi rekahan" daripada bangunan itu pada 24 Dis, dipindahkan lagi pada Khamis (27 Dis) sedang para jurutera berusaha "sehari suntuk" untuk mengatasi isu itu.
Polis dan khidmat kecemasan memindahkan sekitar 300 orang dari 38 tingkat Menara Opal yang terletak di Sydney Olympic Park dan bangunan-bangunan berdekatan lain pada Isnin (24 Dis) selepas laporan tentang "bunyi rekahan".
Bangunan itu bergerak "satu hingga dua milimeter" semasa kejadian itu dan pihak berkuasa menyatakan bahawa ia mengesan retakan pada lantai 10.
Sekitar dua-pertiga unit disahkan selamat untuk para penduduk kembali pada pagi Selasa (25 Dis), tetapi 51 unit lain didapati "tidak selamat secara struktural".
Isu itu menjejas rancangan sambutan Krismas para penghuni terjejas. Ada yang memberitahu media tempatan bahawa mereka terpaksa tidur dalam kenderaan sementara menunggu 'lampu hijau' untuk kembali ke rumah mereka.
Ada juga yang berasa bimbang untuk terus tinggal dalam bangunan tersebut, meskipun apartmen mereka disahkan selamat.
Syarikat pembangun Icon hari ini (27 Dis) menegaskan bahawa bangunan itu "selamat secara struktural".
"Pemindahan sementara itu adalah langkah berjaga-jaga untuk membolehkan para jurutera melakukan pemeriksaan terus-menerus bagi menyiasat secara menyeluruh dan menjalankan kerja-kerja pembaikan secepat mungkin, tanpa gangguan lanjut kepada para penduduk," menurut syarikat itu.
Icon menambah, para penduduk akan disediakan dengan tempat penginapan dan pampasan. Para penyiasat dair syarikat kejuruteraan global, WSP, dan pemilik utamanya, syarikat binaan Jepun, Kajima, akan menerajui siasatan tersebut.
Para penghuni diberitahu dalam satu mesyuarat hari ini (27 Dis) bahawa ia akan mengambil masa sehingga 10 hari sebelum mereka dibenarkan kembali ke bangunan itu, lapor The Sydney Morning Herald.
Pemerintah negeri New South Wales sudahpun menjalankan siasatan terhadap kemantapan struktural bangunan itu.
Bangunan dengan 392 unit itu dibuka tahun ini dan ia terletak berdekatan tapak Olimpik Sydney 2000.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.