Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penduduk Australia digesa dapatkan dos penggalak di tengah ancaman jujukan baru Omicron

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Australia digesa dapatkan dos penggalak di tengah ancaman jujukan baru Omicron

Penduduk Sydney beratur di Pusat Vaksinasi COVID-19 pada 24 Jun 2021. (Gambar: Saeed Khan/AFP)

Diterbitkan : 14 Mar 2022 02:29PM Dikemas Kini : 14 Mar 2022 02:30PM

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia memberi amaran pada Isnin (14 Mac) bahawa pelaksanaan suntikan dos penggalak COVID-19 yang lembap boleh mencetuskan gelombang baru jangkitan COVID-19 akibat ancaman subvarian BA.2 Omicron yang amat mudah berjangkit, lapor Reuters.  

Australia berdepan jumlah tinggi kes COVID-19 dan pesakit yang dimasukkan ke hospital semasa gelombang Omicron, namun semakin stabil sejak enam minggu kebelakangan ini. Kebanyakan wilayah sudah pun melonggarkan kawalan jarak selamat, dengan pelitup tidak lagi perlu dipakai di tempat-tempat tertutup dan syarikat boleh meminta kakitangan mereka pulang ke pejabat. 

Namun, jumlah kes harian mungkin naik seganda dalam empat hingga enam minggu akan datang, memandangkan subvarian baru akan menjadi jujukan dominan, kata Menteri Kesihatan New South Wales Brad Hazzard kepada agensi berita ABC pada Isnin (14 Mac). Ini boleh menyebabkan "lebih ramai orang perlu dirawat di hospital dan juga kemungkinan lebih ramai yang meninggal dunia". 

Reuters melaporkan sekitar 20,000 kes baru dilaporkan di Australia menjelang tengah hari Isnin (14 Mac), dengan dua lagi wilayah akan membuat laporan kemudian, manakala sebanyak empat kematian dicatatkan. Lebih 3.1 juta kes COVID-19 dan 5,590 kematian dilaporkan sejak permulaan pandemik.

Menurut data rasmi, lebih 57 peratus penduduk berusia lebih 16 tahun sudah menerima suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 di New South Wales berbanding purata nasional, sebanyak 65 peratus. Kira-kira 95 peratus sudah lengkap divaksin. 

"Terdapat kekeliruan," ujar Encik Hazzard yang akur bahawa terdapat "masalah besar" dengan mereka yang mendapatkan suntikan dos penggalak. Lebih 2 juta penduduk di wilayah yang mempunyai 8 juta penduduk itu kini layak menerima suntikan dos penggalak, namun masih belum mendapatkannya. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bulan lalu bahawa berdasarkan data awal, varian BA.2 lebih mudah berjangkit berbanding subvarian BA.1 yang asli. 

Pakar kesihatan dan epidemiologi sudah pun meminta pihak berkuasa mempertimbangkan melaksanakan semula beberapa langkah kawalan, termasuk mewajibkan pelitup di pasar raya dan tempat-tempat tertutup yang lain. 

Namun, Perdana Menteri Scott Morrison berkata pemimpin-pemimpin politik negara itu ingin beralih ke fasa baru hidup dengan COVID-19, seperti ia adalah demam selesema biasa. 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa