Penduduk Afghan dapat beraya: Gencatan senjata 8 hari dengan Taliban
Sempena hari raya Aidilfitri, kerajaan Afghanistan mengumumkan gencatan senjata selama lapan hari dengan kumpulan militan Taliban, lapor agensi berita Xinhua, memetik sumber televisyen RTA TV hari ini (7 Jun).
(Gambar: Noorullah Shirzada/ AFP)
KABUL: Sempena hari raya Aidilfitri, kerajaan Afghanistan mengumumkan gencatan senjata selama lapan hari dengan kumpulan militan Taliban, lapor agensi berita Xinhua, memetik sumber televisyen RTA TV hari ini (7 Jun).
"Kerajaan Afghanistan mengumumkan gencatan senjata mulai 27 Ramadan hingga hari raya kelima,'' kata Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, dalam siaran berita RTA TV.
Tarikh 27 Ramadan jatuh pada 12 Jun, oleh itu hari raya pertama kemungkinan pada Jumaat (15 Jun), bergantung kemunculan anak bulan Syawal.
Pada Isnin (4 Jun), lebih daripada 2,000 ulama Afghanistan mengeluarkan fatwa yang menyeru kerajaan dan Taliban mengadakan gencatan senjata serta membuka jalan untuk rundingan damai.
Presiden Afghanistan berkata fatwa dikeluarkan ulama Muslim itu juga "mengisytiharkan bahawa serangan keganasan dan pengebom bunuh diri bukan hanya bertentangan dengan Islam tetapi juga dilarang keras dalam agama."
Pasukan Pertahanan dan Keselamatan Negara Afghanistan hanya akan menghentikan serangan terhadap Taliban, tetapi akan terus mensasarkan kumpulan militan ISIS, organisasi pengganas yang disokong pihak asing dan sekutu mereka.
"Gencatan senjata itu peluang kepada Taliban untuk menilai bahawa kempen keganasan mereka tidak memberikan jiwa dan minda mereka kemenangan, sebaliknya terus menyebabkan pengasingan rakyat Afghanistan," katanya.
Kumpulan militan Taliban bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai gencatan senjata itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.