Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penderma izin keluarkan AS$280 juta bantu Afghanistan hadapi kekurangan makanan

Para penderma antarabangsa bersetuju untuk mengeluarkan AS$280 juta (S$382 juta) dalam bentuk bantuan kepada Afghanistan, menurut Bank Dunia pada Jumaat (10 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Penderma izin keluarkan AS$280 juta bantu Afghanistan hadapi kekurangan makanan

Seorang anggota Taliban (tengah) membeli-belah di sebuah pasar raya di kejiranan Shahr-e Naw di Kabul pada 9 Dis 2021. (Gambar: Wakil Kohsar/AFP)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 10:25AM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 10:28AM

WASHINGTON: Para penderma antarabangsa bersetuju untuk mengeluarkan AS$280 juta (S$382 juta) dalam bentuk bantuan kepada Afghanistan, menurut Bank Dunia pada Jumaat (10 Dis). Ini menyusuli amaran berulang kali bahawa lebih separuh penduduk negara itu berdepan kekurangan makanan "yang mendadak" pada musim sejuk ini.

Wang daripada Dana Amanah Pembangunan Semula Afghanistan (ARTF) akan disalurkan untuk "menyediakan bantuan kemanusian kepada penduduk Afghanistan pada waktu genting ini", menurut Bank Dunia dalam kenyataannya.

Dana itu akan disalurkan kepada UNICEF dan Program Makanan Sedunia yang "mempunyai kehadiran serta kapasiti logistik di Afghanistan dan akan menggunakan dana ini untuk membiayai jurang kewangan pada program sedia ada bagi menyediakan khidmat kesihatan serta pemakanan secara langsung kepada penduduk Afghanistan."

Awal bulan ini, pihak pengurusan bank itu menawarkan cadangan untuk menyalurkan dana tersebut yang pada asalnya bertujuan bagi usaha pembangunan semula.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah berkali-kali memberi amaran bahawa Afghanistan di ambang krisis kemanusian paling buruk di dunia.

Sekitar 22 juta warga Afghanistan, atau lebih separuh penduduk negara itu, akan berdepan kekurangan makanan "yang teruk" pada bulan-bulan musim sejuk. Keadaan ini akan memaksa jutaan penduduk untuk memilih antara penghijrahan atau menghadapi kebuluran.

Ini angkara gabungan kesan kemarau yang berpunca daripada pemanasan bumi. Selain itu, ia juga disebabkan krisis ekonomi yang diburukkan lagi oleh keputusan masyarakat antarabangsa untuk membekukan dana bagi Afghanistan, sebuah negara yang amat bergantung kepada bantuan, selepas Taliban mengambil alih kuasa pada Ogos lalu. Keputusan itu digambarkan oleh PBB dalam laporannya baru-baru ini sebagai "kejutan fiskal yang belum pernah berlaku".

Washington membekukan sekitar AS$10 bilion (S$13 bilion) daripada rizab negara itu manakala Bank Dunia dan Tabung Kawangan Antarabangsa (IMF) menyekat akses Afghanistan kepada pembiayaan dana.

Ramai penduduk di ibu kota Kabul terpaksa menjual barangan rumah demi menyara hidup dan membeli arang batu untuk memanaskan rumah mereka pada musim sejuk.

UNICEF akan menerima AS$100 juta (S$136 juta) untuk menyediakan khidmat kesihatan penting manakala WFP pula akan menerima AS$180 juta (S$245 juta), menurut kenyataan tersebut.  

Sumber : AFP/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa