Skip to main content

Dunia

Pendedahan Laporan RCI TH demi kepentingan negara, bukan bermotif politik: Anwar

Keputusan membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), yang melibatkan anggaran kerugian RM12.5 bilion (S$3.89 bilion), dibuat atas pertimbangan dasar serta kepentingan negara dan bukan atas motif politik atau pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendedahan Laporan RCI TH demi kepentingan negara, bukan bermotif politik: Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa menjadi tetamu dalam podcast 'SembangOhhYeahh' yang disiarkan menerusi YouTube pada Rabu (16 Sep). (Gambar: YouTube/SembangOhhYeahh)

Diterbitkan : 16 Sep 2026 06:11PM
KUALA LUMPUR: Keputusan membentangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH), yang melibatkan anggaran kerugian RM12.5 bilion (S$3.89 bilion), dibuat atas pertimbangan dasar serta kepentingan negara dan bukan atas motif politik atau pilihan raya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan mendedahkan laporan itu dibuat secara bersama oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira kesediaan TH sendiri.

Menurut Encik Anwar, pembentangan laporan tersebut sebelum ini ditangguhkan atas permintaan pengurusan TH bagi memberi ruang kepada usaha penstrukturan semula dan pelan penyelesaian untuk memulihkan kedudukan kewangannya.

"Tabung Haji minta tolong jangan hebahkan sekarang (pada waktu itu). Kalau kita hebah sekarang, masalah, tak ada penyelesaian, orang akan lari (dan) Tabung Haji akan lumpuh. Itu dicadangkan oleh Lembaga Tabung Haji," katanya.

Beliau berkata demikian dalam podcast "SembangOhhYeahh" bertajuk "Eps Khas: Siapa Sebenarnya Anwar Ibrahim, Di Sebalik Gelaran PMX?" yang disiarkan menerusi YouTube pada Rabu (16 Sep).

Encik Anwar berkata Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain sendiri pernah menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri bagi memberi penjelasan mengenai kedudukan kewangan institusi itu dan cadangan penyelesaian sebelum laporan tersebut dibentangkan.

TOLAK DAKWAAN BERKAITAN PILIHAN RAYA

Encik Anwar turut menolak dakwaan pihak tertentu bahawa pembentangan laporan RCI TH mempunyai kaitan dengan jadual Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum (PRU).

Beliau berkata memandangkan proses pilihan raya negeri berlangsung secara berturut-turut, laporan itu tidak wajar terus ditangguhkan atas alasan politik.

Menurutnya, negara memerlukan keputusan dan tindakan tegas bagi mengembalikan integriti institusi berkenaan.

Encik Anwar berkata kesan kerugian TH amat besar kerana ia melibatkan dana yang sepatutnya memberi manfaat kepada jutaan pendeposit, termasuk jemaah haji, petani, nelayan serta generasi muda.

Beliau berkata pembentangan laporan RCI di Parlimen merupakan langkah telus yang membolehkan isu berkenaan dibahaskan secara terbuka.

SEDIA JIKA SIASATAN DIPERLUAS

Encik Anwar turut menyatakan kesediaannya sekiranya siasatan mahu diperluaskan melangkaui tempoh yang diteliti RCI, termasuk ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan pendakwaan atau penentuan hukuman.

Sebaliknya, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala keputusan kes ditentukan badan kehakiman.

Encik Anwar berkata beliau juga terbuka menerima kritikan masyarakat terhadap pentadbirannya bagi membantu pemerintah memperbaiki sebarang kelemahan.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia supaya terus menyokong usaha membanteras rasuah dan perpecahan.

Laporan RCI setebal 211 halaman mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 diterbitkan pada 29 Julai lalu.

Satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan pada 11 Ogos lalu bagi membahaskan laporan tersebut.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita