Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwah Britain Anjem Choudary didapati bersalah sokong ISIS

Salah seorang pendakwah di Britain, yang terkenal dengan ceramah-ceramah yang menerapkan kebencian, kini berdepan dengan hukuman penjara setelah didapati bersalah menyokong ISIS.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwah Britain Anjem Choudary didapati bersalah sokong ISIS

Anjem Choudary. (Gambar: LEON NEAL / AFP)

Diterbitkan : 17 Aug 2016 10:27PM Dikemas Kini : 17 Aug 2016 10:32PM

BRITAIN: Salah seorang pendakwah di Britain, yang terkenal dengan ceramah-ceramah yang menerapkan kebencian, kini berdepan dengan hukuman penjara setelah didapati bersalah menyokong ISIS.

Anjem Choudary dijatuhi hukuman di Old Bailey setelah para juri mendengar bahawa dia mengikrarkan taat setia kepada ISIS, lapor The Guardian.

Lelaki berusia 49 tahun itu, yang ada kaitan dengan salah seorang pembunuh Lee Rigby, Michael Adebolajo dan anggota militan Omar Bakri Muhammad, juga menggesa para pengikutnya supaya menyokong beberapa rancangan ISIS yang disiarkan di laman YouTube.

Anjem dan rakannya yang turut berdepan hukuman, Mohammed Rahman, 33 tahun memberitahu para penyokong mereka supaya mematuhi Abu Bakr al-Baghdadi, iaitu pemimpin ISIS, yang juga dikenali sebagai khalifah, serta menggesa mereka agar ke Syria untuk menyertai ISIS atau "khilafah", mahkamah dimaklumkan.

Kedua-duanya didapati bersalah pada bulan Julai namun perincian perbicaraan termasuk keputusan mahkamah tidak boleh dilaporkan sehingga sekarang.

Anjem dan Rahman berdepan hukuman penjara selama 10 tahun kerana memberikan sokongan kepada pertubuhan yang berbahaya, menurut The Guardian.

Mereka akan dijatuhi hukuman pada 6 September di Old Bailey.

Menurut Ketua Polis Metropolitan Anti-Pengganasan, Komander Dean Haydon: "kedua-dua lelaki ini cuba mengelak pengawasan pihak berkuasa sejauh ini, namun tiada seorang pun dalam bidang anti-pengganasan yang meragui pengaruh mereka, kebencian yang mereka sebarkan dan orang-orang yang mereka galak supaya menyertai pertubuhan pengganas."

"Berkali-kali kami menyaksikan orang-orang dibicarakan atas kesalahan paling serius, yang pernah menghadiri ceramah kedua-dua lelaki ini. Ikrar taat setia mereka kepada ISIS adalah satu titik perubahan - akhirnya kami mempunyai bukti yang menunjukkan bahawa mereka sudah melanggar undang-undang dan kami boleh buktikan bahawa mereka menyokong ISIS," tambah beliau, menurut laporan The Guardian.

Sumber : Agensi berita/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan