Pendakwah Abu Hassan Din Al-Hafiz meninggal dunia
Pendakwah terkenal Malaysia Abu Hassan Din Al-Hafiz meninggal dunia pagi ini (1 Mei), menurut media tempatan.
KUALA LUMPUR: Pendakwah terkenal Malaysia Abu Hassan Din Al-Hafiz meninggal dunia pagi ini (1 Mei), menurut media tempatan.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam catatan Facebook Ahli Dewan Undangan Negeri Kupang, Najmi Ahmad sekitar 8.30 pagi ini.
"Dato Seri Abu Hassan Din al-Hafiz baru sahaja kembali bertemu dengan Penciptanya," tulis Encik Najmi dalam catatan yang melampirkan poster program dakwah yang sepatutnya dihadiri Allahyarham Abu Hassan malam ini.
Astro Awani melaporkan, perkara yang sama dimaklumkan oleh pemilik akaun Facebook Ustaz Nabil Ahmad, yang turut memaklumkan Allahyarham Abu Hassan dikejarkan ke hospital pagi ini selepas rebah dan tidak sedarkan diri setelah solat subuh.
Menurut Astro Awani, Allahyarham sebelum ini pernah dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) Malaysia.
Allahyarham Abu Hassan ialah adik kepada pendakwah terkenal Allahyarham Dr Haron Din yang meninggal pada September 2016 di sebuah hospital di San Francisco berhubung masalah jantung.
Harian Metro melaporkan, anak Allahyarham Abu Hassan, Mohamad Yusri Abu Hassan memaklumkan bahawa jenazah ayahnya akan dibawa ke Masjid Saidina Hamzah untuk dimandikan.
“Insya-Allah pengebumian akan dilakukan secepat mungkin dijangka sebelum Zohor,” katanya, seperti ditukil Harian Metro.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.