Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwaan tarik balik surat mohon mahkamah utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

Pihak pendakwaan dalam kes Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat yang dihantar kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO itu berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwaan tarik balik surat mohon mahkamah utamakan kes rasuah Ahmad Zahid

Bekas timbalan perdana menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Jan 2022. (Gambar fail: Vincent Thian/AP)

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik balik surat yang dihantar kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah supaya memberi keutamaan kepada perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO itu berbanding kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Najib Razak.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, yang mengemukakan permohonan itu, memberitahu mahkamah bahawa perkara tersebut kini sudah selesai dengan mengambil kira penarikan balik surat berkenaan.

“Oleh itu, tiada permohonan sedemikian di hadapan mahkamah ini. Kita teruskan dengan perbicaraan ini,” katanya sebelum bermulanya prosiding hari ini (30 Ogos).

Pada ketika ini, Hakim Sequerah berkata tiada sesiapa yang boleh menentukan kes apa yang harus diberi keutamaan di mahkamah.

Peguam Dr Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, kemudian bangun dan berkata surat itu boleh ditafsirkan sebagai memberi tekanan kepada mahkamah.

"Kami berharap perbicaraan ini akan dijalankan mengikut kedaulatan undang-undang," tegasnya.

Hakim Sequerah juga merupakan hakim perbicaraan dalam kes 1MDB Najib, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion(S$717 juta) daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Surat kepada setiausaha Hakim Sequerah dihantar pada petang Isnin, yang Encik Abdul Malik menyatakan bahawa beliau diarah memberi keutamaan kepada kes Dr Ahmad Zahid yang kini di peringkat pembelaan, dan salinan surat itu turut diserah kepada pasukan pembelaan Dr Ahmad Zahid. 

Sejak petang semalam, surat itu tular di media sosial malah terdapat pihak mempertikaikan ketulenannya.

Perbicaraan kemudian bersambung apabila Dr Ahmad Zahid diperiksa semula oleh peguamnya Hamidi Mohd Noh. 

Dr Ahmad Zahid membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB). 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan