Skip to main content

Dunia

Pendakwa perlu buktikan Najib salah guna kedudukan, tegas peguam bela

Pendakwaan perlu membuktikan Encik Najib Razak menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan perlindungan berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwa perlu buktikan Najib salah guna kedudukan, tegas peguam bela

Bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 Jul 2020 07:51AM Dikemas Kini : 24 Jul 2020 07:55AM

KUALA LUMPUR: Pendakwaan perlu membuktikan Encik Najib Razak menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan perlindungan berhubung dakwaan meminda Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peguam Encik Najib, Encik Muhammad Shafee Abdullah berkata bagi memenuhi elemen penyalahgunaan kedudukan, pendakwaan mesti menunjukkan bekas perdana menteri itu mempunyai kuasa ke atas Ketua Audit Negara (KAN) Encik Ambrin Buang yang menyediakan dan memuktamadkan laporan akhir itu atau KAN diberi tekanan atau diugut untuk sebarang keputusan berhubung laporan yang disediakannya.

“Pada awalnya, kami mengemukakan KAN bertindak berdasarkan kuasa yang diberikan kepadanya oleh Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Audit 1957 secara tegas memperuntukkan KAN melaksanakan fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Berdasarkan keterangan oleh bekas KAN, Encik Ambrin; bekas pengarah Jabatan Audit Negara (JAN), Cik Saadatul Nafisah Bashir dan pegawai JAN, Encik Nor Salwani Muhammad, adalah jelas Encik Ambrin menggunakan kuasa prerogatifnya sebagai KAN dalam melaksanakan pindaan sebelum laporan akhir 1MDB dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)

“Kami juga mengemukakan Ambrin telah menggunakan kuasanya secara bebas daripada sebarang arahan yang didakwa daripada perdana menteri dan menteri kewangan,” katanya sambil menambah tuduhan terhadap Encik Najib adalah bersifat menindas.

Encik Najib mengemukakan permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya membabitkan pendakwaan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Encik Arul Kanda Kandasamy.

Encik Muhammad Shafee berkata penyalahgunaan frasa ‘muktamad pada awal pertuduhan dan kemudian ‘muktamadkan semula’ pada pindaan tuduhan terhadap anak guamnya membawa kesan mengelirukan pembelaan.

Oleh itu, pihak pembelaan mengemukakan bahawa walaupun semasa membaca pertuduhan itu, tidak ada arah yang jelas tentang bagaimana sesuatu yang sudah muktamad dan namun belum dimuktamadkan lagi, katanya.

“Atas alasan tersebut, kami berdoa mahkamah ini akan menggunakan bidang kuasa yang sedia ada untuk menolak atau membatalkan pertuduhan terhadap anak guam saya dan mengarahkan Encik Najib dilepas dan dibebaskan.

“Sebagai pilihan, kami berdoa perintah dilepas tanpa dibebaskan atas alasan pertuduhan terhadap Encik Najib tidak berasas,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berhujah bahawa permohonan Encik Najib untuk membatalkan tuduhan itu perlu ditolak kerana pendakwaan masih di peringkat awal mengemukakan keterangan.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk mahkamah membuat kesimpulan bahawa pertuduhan itu adalah penyalahgunaan proses.

Encik Sri Ram berkata setakat ini hanya tujuh saksi pendakwaan yang memberi keterangan dan pihak pendakwaan belum memanggil saksi lain dan mengemukakan bukti untuk menunjukkan dakwaan mendapatkan perlindungan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu.

“Najib perlu membuktikan tuduhan terhadapnya adalah satu penindasan,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos ini untuk keputusan.

Pada 12 Disember 2018, Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 (S$3,300) yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Encik Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Encik Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita