Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pendakwa ICC mohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing atas kempen Rohingya

Anggaran Waktu Membaca:
 Pendakwa ICC mohon waran tangkap terhadap Min Aung Hlaing atas kempen Rohingya

(Gambar fail: STR / AFP)

Diterbitkan : 28 Nov 2024 09:37AM Dikemas Kini : 28 Nov 2024 09:41AM
HAGUE: Pendakwa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata pada Rabu (27 Nov) bahawa beliau akan mendapatkan waran tangkap terhadap pemimpin tentera Myanmar Min Aung Hlaing atas jenayah kemanusiaan dan penganiayaan terhadap kaum Rohingya.

Junta Myanmar itu menegaskan dalam satu kenyataan kepada Reuters bahawa negara itu bukan anggota ICC dan ia tidak mengiktiraf kenyataan tersebut.

Sejuta orang Rohingya meninggalkan Myanmar, kebanyakannya ke negara jiran Bangladesh, untuk melarikan diri daripada serangan tentera Myanmar yang dilancarkan pada Ogos 2017, kempen yang disifatkan oleh penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai penghapusan kaum.

Askar, polis, dan penduduk beragama Buddha dipercayai telah memusnahkan beratus-ratus kampung di wilayah Rakhine, menyeksa orang Rohingya sedang mereka cuba melarikan diri, melakukan pembunuhan beramai-ramai dan rogol secara berkumpulan.

Myanmar bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatannya menjalankan operasi yang sah terhadap para anggota militan yang menyerang pondok-pondok polis.

Sebahagian besar pelarian Rohingya kini hidup dalam serba kekurangan di kem-kem sementara di Bangladesh.

“Dia [Min Aung Hlaing] bertanggungjawab mendalangi pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Rohingya yang tidak bersalah,” kata Mohammed Zubair, seorang penyelidik Rohingya yang tinggal di kem pelarian Bangladesh. "Di bawah perintahnya, tentera membunuh beribu-ribu Rohingya dan menjadikan wanita dan kanak-kanak perempuan sebagai mangsa keganasan seksual yang mengerikan."

Mendapatkan waran tangkap untuk "orang yang memegang jawatan tentera tertinggi di Myanmar akan menyampaikan mesej yang jelas kepada pelaku bahawa tiada seorang pun yang terlepas dari undang-undang," kata Nicholas Koumjian, ketua Mekanisme Siasatan Bebas PBB untuk Myanmar, yang membantu siasatan ICC.

Panel tiga hakim kini akan memutuskan sama ada mereka bersetuju bahawa terdapat "alasan yang munasabah" untuk mempercayai Min Aung Hlaing bertanggungjawab melakukan jenayah dan penganiayaan kaum Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Tiada tempoh masa ditetapkan untuk keputusan mereka tetapi biasanya akan mengambil masa sekitar tiga bulan untuk meluluskan waran tangkap.

Tindakan pendakwa raya ICC diumumkan sedang pejabatnya berdepan tindak balas politik yang sengit dari Washington, antara lain, berhubung waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanan Yoav Gallant.

Pejabat pendakwa menyatakan bahawa ia sedang mendapatkan waran itu menyusuli siasatan yang meluas, bebas dan tidak berat sebelah.

Lebih banyak permohonan untuk waran tangkap berkaitan Myanmar akan menyusul, tambahnya.

Myanmar bukan anggota ICC tetapi pada 2018 dan 2019, para hakim berkata mahkamah tersebut mempunyai bidang kuasa ke atas dakwaan jenayah rentas sempadan yang sebahagiannya berlaku di negara jiran anggota ICC iaitu Bangladesh, dan pendakwa boleh membuka siasatan rasmi.

"Ini adalah permohonan pertama untuk waran tangkap terhadap pegawai kanan pemerintah Myanmar yang difailkan oleh Pejabat saya. Lebih banyak lagi akan menyusul," menurut kenyataan pendakwa raya ICC.

SIASATAN 5 TAHUN

ICC telah menyiasat jenayah terhadap kaum Rohingya selama hampir lima tahun. Siasatannya bukan sahaja terhambat akibat kekurangan akses ke negara itu tetapi juga kerana Myanmar semakin bergolak sejak tentera menggulingkan pemerintah pimpinan pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi pada 2021, yang mencetuskan bantahan besar-besaran dan kemudian menjadi pemberontakan bersenjata.

Penyiasat menggunakan keterangan saksi, termasuk daripada orang dalam, bukti dokumentari dan bahan saintifik, fotografi dan video yang disahkan.

"Keputusan pendakwa raya ICC untuk mendapatkan waran tangkat terhadap Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dibuat di tengah-tengah kekejaman terhadap orang Rohingya yang sama seperti yang dialami tujuh tahun lalu," kata Maria Elena Vignoli, peguam kanan Human Rights Watch.

"Tindakan ICC adalah langkah penting ke arah memecahkan kitaran penderaan yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh tentera Myanmar."

Dengan 124 negara anggota, ICC mendakwa individu atas jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai dan pencerobohan.

Dengan tiada pasukan polis untuk membuat penangkapan, ia bergantung kepada negara-negara anggota untuk melakukannya. Ia menghadapi cabaran untuk menangkap Min Aung Hlaing kerana beliau tidak melakukan perjalanan ke luar negara.

Kuasa-kuasa dunia seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan India belum menganggotai ICC. ICC disokong oleh Kesatuan Eropah (EU), Australia, Kanada, Britain, Brazil, Jepun dan berpuluh-puluh negara Afrika dan Amerika Latin.

ICC telah mengeluarkan beberapa waran tangkap terhadap pemimpin negara termasuk Encik Netanyahu, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Omar al-Bashir dari Sudan.

Setakat ini, hanya seorang ketua negara, Uhuru Kenyatta dari Kenya, didakwa oleh ICC sebelum beliau dipilih sebagai presiden pada 2013, yang kemudian hadir di mahkamah untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya.

Kes itu bagaimanapun kemudiannya digugurkan.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan