Skip to main content

Dunia

Pendakwa buka semula siasatan dakwaan rogol berkumpulan di Cornell selepas mangsa fail saman

Seorang pendakwa New York membuka semula siasatan terhadap tuduhan rogol berkumpulan di sebuah persaudaraan (fraternity) pelajar Universiti Cornell menyusuli saman yang difailkan seorang wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwa buka semula siasatan dakwaan rogol berkumpulan di Cornell selepas mangsa fail saman

Papan tanda Universiti Cornell di Ithaca, New York, pada 28 September 2026. (Gambar fail: AP/Heather Ainsworth)

Diterbitkan : 01 Oct 2026 09:25AM
Prosecutor reopens investigation into alleged gang rape at Cornell after victim files lawsuit
  • Tompkins County District Attorney Matthew Van Houten reopened the investigation into the alleged gang rape at Cornell Chi Phi house after Jane Doe filed a lawsuit on Sep 16.
  • The woman alleged that seven students assaulted her in October 2024 after she was given alcohol, marijuana and ketamine, and sued them, Cornell, Chi Phi, an Ithaca bar and others.
  • Cornell supported the new investigation, saying it had already investigated the case in 2024, expelled and suspended several students, and shut the Chi Phi chapter on campus.
  • The case prompted public condemnation, including from Alexandria Ocasio-Cortez, while Cornell said a 2025 task force had proposed additional measures to address sexual assault on campus.
Dijana oleh AI
NEW YORK: Seorang pendakwa New York membuka semula siasatan terhadap tuduhan rogol berkumpulan di sebuah persaudaraan (fraternity) pelajar Universiti Cornell menyusuli saman yang difailkan seorang wanita.

Wanita tersebut mengatakan bahawa dirinya diserang secara seksual pada 2024 oleh tujuh pelajar selepas diberikan alkohol dan dadah.

Pendakwa Daerah Tompkins County, Matthew Van Houten, berkata pada Isnin (28 Sep) bahawa pejabatnya akan mengemukakan bukti kepada juri agung sedang beliau berdepan pertanyaan orang ramai mengenai sebab tiada pendakwaan jenayah dibuat dalam kes tersebut.

Wanita itu, yang hanya dikenal pasti menggunakan nama samaran dalam saman tersebut, memfailkan aduan pada 16 September. Dia mendakwa diserang secara seksual di rumah persaudaraan Chi Phi di kampus universiti Ivy League tersebut pada Oktober 2024 selepas didesak mengambil ketamin melalui hidung, menghisap ganja dan meminum alkohol.

Dia tidak berdaya sepenuhnya apabila anggota persaudaraan tersebut melakukan serangan seksual terhadapnya, menurut saman berkenaan.

Saman itu, pembukaan semula siasatan dan maklum balas Cornell mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.

Ramai mengkritik pihak universiti dan pejabat pendakwa daerah menerusi catatan mereka, manakala sesetengah pihak meragui tuduhan dalam saman tersebut. Ada juga yang memuat naik gambar tujuh anggota persaudaraan berkenaan.

Wanita tersebut menyaman tujuh lelaki itu, persaudaraan Chi Phi, universiti berkenaan, sebuah bar di Ithaca dan beberapa pihak lain serta menuntut ganti rugi yang tidak didedahkan jumlahnya. Peguam wanita tersebut tidak segera menjawab permintaan bagi mendapatkan komen pada Isnin berhubung keputusan pendakwa tersebut.

Wanita itu membuat laporan kepada polis kampus ketika itu, namun Encik Van Houten berkata beliau tidak membuat sebarang tuduhan mengenai rogol berkumpulan atau diberikan dadah tanpa pengetahuannya dalam kenyataan bersumpah awal kepada pihak berkuasa.

Pendakwa itu juga berkata peguam wanita tersebut tidak pernah menghubunginya berhubung kenyataan berkenaan atau meminta keputusan untuk tidak mengetengahkan dakwaan dipertimbangkan semula. Namun, beliau baru-baru ini menghubungi peguam tersebut.

"Usaha mendapatkan keadilan kadangkala memerlukan kami mempertimbangkan semula atau membuka semula kes apabila bukti tambahan dikemukakan kepada kami," kata Encik Van Houten dalam satu kenyataan.

"Masyarakat meminta saya menilai semula keputusan sama ada pertuduhan jenayah perlu dikenakan terhadap tujuh anggota persaudaraan tersebut. Saya sudah memulakan proses itu, bermula dengan perbincangan kami bersama Jane Doe dan para peguamnya."

CORNELL JAWAB KRITIKAN

Universiti tersebut dalam satu kenyataan menyatakan ia menyokong keputusan untuk membuka semula siasatan. Menurut Cornell, ia menjalankan siasatan sendiri dan mengenakan tindakan disiplin, termasuk membuang beberapa pelajar dan menggantung pengajian pelajar lain. Ia turut memaklumlan, cawangan Chi Phi di kampus ditutup pada 2024 dan masih dilarang beroperasi di kampus.

Para pegawai universiti pada Isnin enggan mendedahkan maklumat lanjut berhubung tindakan disiplin tersebut, termasuk jumlah pelajar yang dibuang dan digantung pengajiannys. Cornell menyatakan minggu lalu bahawa undang-undang privasi persekutuan menghalangnya daripada mendedahkan maklumat khusus mengenai pelajar secara individu.

"Sebarang tuduhan bahawa universiti tidak mengenakan hukuman yang berat terhadap mereka yang terlibat adalah tidak benar," menurut universiti tersebut.

"Meneruskan naratif palsu bahawa kes ini hanya membawa kesan yang minimum adalah tidak bertanggungjawab, akan menyebabkan mangsa berasa kurang selamat dan kurang mendapat sokongan serta menyebabkan kes serangan seksual terus kurang dilaporkan."

Cawangan nasional Chi Phi tidak menjawab panggilan telefon dan emel pada Isnin.

Universiti itu menyatakan ia menjalankan siasatan disiplin dalaman pada 2024. Menurutnya, sebuah panel yang terdiri daripada tenaga pengajar dan kakitangan terlatih mendengarkan bukti selama beberapa hari, manakala wanita tersebut dan mereka yang dituduh diberi peluang untuk memberikan keterangan serta mengemukakan bukti.

SAMAN DAKWA PELAJAR DISERANG SECARA SEKSUAL KETIKA MALAM SAMBUTAN

Aduan wanita tersebut menuduh universiti berkenaan gagal mencegah serangan yang dikatakan berlaku dan gagal menangani keganasan seksual di kampus dengan sewajarnya. Aduan tersebut turut mengandungi gambar yang dikatakan menunjukkan perbualan kumpulan antara anggota persaudaraan tersebut berhubung kejadian pada malam berkenaan.

Wanita tersebut, yang ketika itu merupakan pelajar Cornell berusia 20 tahun dan anggota sebuah persatuan pelajar wanita, membuat laporan kepada polis kampus kira-kira tiga minggu kemudian, menurut saman berkenaan. Persaudaraan itu dan tujuh anggotanya digantung buat sementara waktu pada hari yang sama, menurut saman berkenaan.

Aduan itu menyatakan tujuh pelajar tersebut diberikan "peluang untuk mengurangkan tahap kesalahan mereka dengan menyerahkan esei kepada Cornell".

Menurut Cornell, "tiada seorang pun individu yang dikenakan tindakan diberikan pilihan untuk menulis esei sebagai satu-satunya hukuman atas pelibatan mereka", sambil merujuk kepada tindakan membuang dan menggantung pengajian pelajar.

Pada hujung minggu, Wakil Democrat New York Alexandria Ocasio-Cortez mengecam apa yang disifatkannya sebagai "budaya rogol" yang dilindungi di institusi elit.

"Apabila saya membaca apa yang berlaku di Cornell, lelaki-lelaki itu membuat catatan dalam perbualan kumpulan. Ini bermakna perkara itu sesuatu yang biasa bagi mereka. Ini bermakna perkara itu boleh diterima oleh mereka. Ini satu budaya," kata beliau pada Ahad dalam sebuah forum yang dihadiri ramai golongan muda berhampiran kampus Cornell.

"Dan apa yang perlu kita lakukan adalah memahami bahawa kita tidak lagi boleh melindungi ruang sedemikian."

MENURUT UNIVERSITI, LANGKAH TAMBAHAN SUDAH DIAMBIL UNTUK TANGANI KEGANASAN SEKSUAL

Cornell memaklumkan, sebuah pasukan bertindak universiti mengenai serangan seksual di kampus, yang ditubuhkan pada 2025, mengemukakan beberapa saranan pada awal tahun ini. Beberapa daripadanya sudah dilaksanakan, manakala yang lain masih berada dalam peringkat pembangunan.

Laporan pasukan bertindak tersebut menyatakan satu tinjauan universiti pada 2025 menunjukkan 35 peratus mahasiswi prasiswazah dan lapan peratus mahasiswa prasiswazah melaporkan pernah mengalami serangan seksual sepanjang tempoh mereka di Cornell.

Sejak saman tersebut difailkan, pendakwa berkata pejabatnya menerima begitu banyak panggilan telefon, pesanan suara dan emel mengenai kes itu daripada orang ramai yang mahukan jawapan, selain mereka yang melontarkan penghinaan dan ancaman.

"Kemarahan masyarakat yang berpunca daripada laporan berita dan media sosial yang tidak lengkap memerlukan saya memberikan jawapan mengenai mengapa siasatan tersebut tidak membawa kepada sebarang pertuduhan jenayah," kata Encik Van Houten dalam satu kenyataan.

Eeshaan Chaudhuri, pelajar tahun akhir Cornell dan presiden perwakilan pelajar, berkata siasatan awal universiti perlu dinilai semula, begitu juga sebab pejabat pendakwa daerah tidak mengambil tindakan lebih lanjut.

Menurutnya, budaya dalam persaudaraan tersebut juga perlu diteliti.

"Isu ini menimbulkan persoalan lebih luas, bukan hanya di Cornell," kata beliau. "Sudah tentu, perkara seperti ini tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata."
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita