Skip to main content

Dunia

Pendakwa Amerika dakwa pengendali kapal & kakitangan utama dari SG atas nahas yang runtuhkan jambatan Baltimore

Pengendali kapal berpangkalan di Singapura yang merempuh Jambatan Francis Scott Key di Baltimore sehingga menyebabkan jambatan itu runtuh dan mengorbankan enam orang, didakwa bersama seorang kakitangan utamanya, menurut pendakwa persekutuan Amerika Syarikat pada Selasa (12 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwa Amerika dakwa pengendali kapal & kakitangan utama dari SG atas nahas yang runtuhkan jambatan Baltimore

Kapal kargo Dali di Baltimore, Maryland, pada 2 April 2024, selepas ia merempuh dan menyebabkan Jambatan Francis Scott Key di bandar itu runtuh. (Gambar fail: AFP/Getty Images/Chip Somodevilla)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 May 2026 11:44PM
BALTIMORE: Pengendali kapal berpangkalan di Singapura yang merempuh Jambatan Francis Scott Key di Baltimore sehingga menyebabkan jambatan itu runtuh dan mengorbankan enam orang, didakwa bersama seorang kakitangan utamanya, menurut pendakwa persekutuan Amerika Syarikat pada Selasa (12 Mei).

Pertuduhan itu menamakan Synergy Marine yang berpangkalan di Singapura dan Synergy Maritime yang berpangkalan di Chennai, India.

Radhakrishnan Karthik Nair, 47 tahun, warga India yang merupakan penyelia teknikal kapal kontena Dali, turut didakwa.

Kapal Dali merempuh Jambatan Francis Scott Key pada 26 Mac 2024, mengorbankan enam pekerja binaan yang sedang menurap jalan berlubang.

Syarikat-syarikat tersebut dan Nair didakwa atas konspirasi, dengan sengaja gagal memaklumkan Pengawal Pantai Amerika Syarikat dengan segera mengenai keadaan berbahaya yang diketahui, menghalang prosiding agensi serta memberikan kenyataan palsu.

Siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) terhadap nahas itu memberi tumpuan kepada operasi kapal dan sama ada kakitangan mengetahui tentang masalah sistem kritikal sebelum meninggalkan pelabuhan.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) tahun lalu mendapati dua gangguan bekalan elektrik - satu disebabkan oleh wayar longgar di atas kapal Dali dan satu lagi akibat masalah pam bahan api - melumpuhkan kawalan kapal kargo besar itu sebelum ia merempuh jambatan berkenaan.

Dali sedang meninggalkan Baltimore menuju ke Sri Lanka apabila sistem kemudinya gagal berfungsi akibat gangguan kuasa. Kapal itu merempuh tiang sokongan jambatan pada pukul 1.30 pagi.

Pihak berkuasa Maryland menganggarkan kos penggantian jambatan itu boleh mencecah antara AS$4.3 bilion (S$5.47 bilion) hingga AS$5.2 bilion (S$6.61 bilion), dengan jambatan baharu dijangka dibuka kepada lalu lintas pada penghujung 2030.

Namun, kos sebenar akibat runtuhan itu jauh lebih besar, menurut pejabat peguam negara Maryland.

Kejadian tersebut menghentikan kegiatan perkapalan di Pelabuhan Baltimore, menjejaskan mata pencarian ribuan orang, mengalih lalu lintas ke kawasan masyarakat yang sudahpun menanggung beban tidak seimbang serta mencetuskan masalah ekonomi di seluruh negeri.

Pertuduhan itu dibuat susuli satu persetujuan penyelesaian secara prinsip antara Negeri Maryland, Synergy Marine dan Grace Ocean, pemilik kapal berpangkalan di Singapura, yang diumumkan Peguam Negara Anthony Brown pada April.

Tuntutan saman itu mendakwa nahas tersebut berpunca daripada kecuaian, salah urus dan pengendalian cuai sebuah kapal yang tidak layak untuk berlayar dan sepatutnya tidak dibenarkan untuk meninggalkan pelabuhan.

Para plaintif termasuk keluarga enam pekerja binaan yang maut, pemilik kargo di atas kapal serta pemerintah tempatan yang menuntut ganti rugi bagi kerugian ekonomi. Butiran penyelesaian tersebut tidak didedahkan dan beberapa bahagian tuntutan masih belum diselesaikan.

Negeri itu menuntut ganti rugi bagi pihak agensinya atas kemusnahan jambatan, kerosakan terhadap Sungai Patapsco dan persekitaran sekitarnya, kehilangan keuntungan serta kerugian ekonomi kepada Maryland dan para penduduknya.

Pejabat peguam negara menyatakan pada April bahawa penyelesaian itu tidak menghuraikan sebarang tuntutan negeri terhadap pembina kapal, Hyundai.

Jambatan tersebut, yang sekian lama menjadi mercu tanda Baltimore, merupakan sebuah prasarana pengangkutan penting yang membolehkan para pemandu mengelakkan pusat bandar dengan mudah. Jambatan keluli sepanjang 2.6 kilometer itu mengambil masa selama lima tahun untuk dibina dan dibuka kepada lalu lintas pada 1977.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita