Pendaki Kanada maut di Gunung Manaslu Nepal
Seorang pendaki warga Kanada maut di gunung Manaslu Nepal, iaitu puncak gunung kelapan tertinggi di dunia.
(Gambar: AFP)
KATHMANDU: Seorang pendaki warga Kanada maut di gunung Manaslu Nepal, iaitu puncak gunung kelapan tertinggi di dunia.
Demikian menurut penganjur ekspedisi hari ini (30 Sep) mengenai kematian pertama dalam pendakian pada musim luruh.
Sekitar 200 pendaki berusaha untuk sampai ke puncak gunung setinggi 8,163 meter itu di Nepal.
Encik Brent Seal, 37 tahun, sedang dalam perjalanan ke puncak dan sudahpun melintasi Kem 4 pada ketnggian 7,450 meter apabila beliau meninggal dunia pada Rabu (29 Sep).
"Mayatnya diangkat melalui udara ke Kathmandu. Dipercayai bahawa beliau mengalami serangan jantung secara tiba-tiba," kata Bodha Raj Bhandari dari Snowy Horizon Treks and Expedition.
Ekspedisi pada musim luruh di Himalaya itu kurang digemari para pendaki kerana hari yang lebih singkat dan sejuk, permukaan gunung yang diselubungi salji serta dan tempoh singkat cuaca baik yang boleh mempercepat pendakian ke puncak berbanding musim bunga yang sibuk.
Nepal mengeluarkan 253 permit bagi tujuh puncak - hampir satu pertiga daripada jumlah permit yang dikeluarkan pada musim bunga - tetapi tiada yang dikeluarkan untuk Everest, gunung tertinggi di dunia.
Lebih 700 pendaki asing bergegas kembali ke gunung-ganang Nepal pada musim bunga, termasuk rekod 408 pendaki bagi gunung Everest, setelah musim pendakian tahun lepas dibatalkan dek pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, musim pendakian yang popular itu berlaku serentak dengan gelombang baru jangkitan COVID-19, dengan beberapa kes virus itu dilaporkan di beberapa kem pangkalan Himalaya.
Nepal merupakan negara di mana lapan daripada 14 puncak tertinggi di dunia berada dan para pendaki asing yang berbondong-bondong ke sana merupakan sumber utama pendapatan negara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.