Skip to main content

Dunia

Pendaki hilang di Perak ditemui orang asli dalam keadaan lemah dan menangis

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaki hilang di Perak ditemui orang asli dalam keadaan lemah dan menangis

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Jun 2026 11:22PM Dikemas Kini : 06 Jun 2026 11:38PM
TAPAH: Seorang penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki Jaslinda Saludin, 49, petang tadi mendakwa wanita itu dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang bersama satu beg plastik berisi beberapa jenis tumbuhan termasuk cendawan.

Nazri a/l Bah Eng, 55, berkata beliau menemukan Jaslinda kira-kira 5 petang pada Sabtu (6 Jun) ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan sungai berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bersama dua ahli keluarganya.

“Kami kebetulan nak memancing di sungai berkenaan, secara tiba-tiba seorang daripada kami menjumpai Jaslinda dalam keadaan lemah dan menangis. Beliau juga ada bawa satu beg plastik yang berisi cendawan.

“Dalam keadaan itu, saya terus bawa beliau balik ke rumah tok batin di kampung berkenaan dan kami beri beliau makan serta minum kerana keadaannya kelihatan terlalu letih,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah.

Encik Nazri berkata selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, beliau segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan penemuan berkenaan sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di lokasi.

Dalam pada itu, suami Jaslinda, Haszman Othman, 61, meluahkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sehingga isterinya, ditemukan selamat.

Encik Haszman berkata kejayaan operasi itu ialah hasil kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, bomba, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan berkanun, serta masyarakat Orang Asli yang turut membantu sepanjang usaha pencarian dijalankan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama pihak polis, bomba, NGO, badan-badan berkanun dan juga Orang Asli yang memberikan kerjasama cukup baik sepanjang operasi ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Tapah.

Pengurusan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menyediakan penginapan dan sokongan kepada keluarganya sepanjang 14 hari operasi SAR itu.

Berhubung tindakan seterusnya, Encik Haszman berkata perkara itu bergantung pada laporan pihak kesihatan yang merawat isterinya ketika ini.

“Saya tahu orang rumah saya tabah. Saya tahu dia kuat (hadapi dugaan),” katanya ketika ditanya tentang keadaan Jaslinda sebaik berjaya dijumpai setelah dua minggu hilang.

Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan bersama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi 23 Mei lalu, menerusi laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti, bagaimanapun Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat oleh MGP pada 7.30 pagi, 24 Mei.
 
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita