Skip to main content

Dunia

Pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung

Anggaran Waktu Membaca:

KOTA KINABALU: Seorang pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia akibat sindrom akut gunung (AMS) ketika menerima rawatan di Hospital Ranau pada awal pagi Selasa (25 Apr).

Alexzander Kueh Check Boo, 45 tahun, disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 pagi selepas dibawa turun ketika mendaki gunung bersama isterinya yang turut mengalami AMS, lapor Sinar Harian.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berkata, mendiang bersama isterinya mula mendaki puncak Gunung Kinabalu pada Isnin (24 Apr) dan tiba di Panalaban namun dipercayai mengalami AMS.

Katanya, kejadian bermula apabila isteri mendiang mengadu sakit kepala dan sesak nafas sekitar pukul 9.00 malam.

"Pasukan Bomba Bantuan Mencari dan Menyelamat di Gunung (Mosar) telah memberinya oksigen yang diperlukan untuk pertolongan cemas namun pada pukul 10.00 malam, pasukan penyelamat memutuskan untuk mengusungnya ke Timpohon Gate dan kemudian ke Hospital Ranau bagi rawatan lanjut.

"Selang empat jam kemudian iaitu dua kilometer dari Timpohon Gate, mendiang pula mengalami kesukaran bernafas dan kekejangan otot sebelum diusung ke Timpohon dan turut di bawa ke hospital yang sama namun disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 pagi," katanya dalam kenyataan yang dipetik Sinar Harian. 

Cik Christina meminta pihak Taman-Taman Sabah (TTS) yang terletak di bawah Kementeriannya membantu keluarga mangsa.

"Keadaan isteri stabil selepas sembuh dari AMS. Namun, dia kehilangan pasangannya yang setia," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menasihatkan semua pendaki gunung supaya lebih bersedia secara fizikal dan mental sebelum memulakan pendakian.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita