Skip to main content

Dunia

Pendaftaran bagi calon pilihan raya umum Thailand dibuka

Demam pilihan raya pula sudah bermula di Thailand dengan calon-calon mula mendaftar untuk pilihan raya umum pertama negara itu sejak junta tentera merampas kuasa lima tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Feb 2019 04:42PM Dikemas Kini : 04 Feb 2019 11:10PM

BANGKOK: Demam pilihan raya pula sudah bermula di Thailand dengan calon-calon mula mendaftar untuk pilihan raya umum pertama negara itu sejak junta tentera merampas kuasa lima tahun lalu.

Ini setelah Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand membuka pendaftaran kepada calon-calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya 24 Mac ini.

Pendaftaran itu dibuka di semua bahagian dan wilayah di Thailand sehingga Jumaat ini (8 Feb).

Calon jawatan Perdana Menteri dari Parti Pheu Thai, Encik Sudarat Keyuraphan berkata bahawa "rakyat sudah menunggu selama lapan tahun untuk pilihan raya ini".

Beliau juga menggesa suruhanjaya pilihan raya agar berlaku adil demi menganjakkan negara ke hadapan.

Bagi salah seorang pemimpin Parti Thai Raksa Chart pula, Encik Chaturon Chaisang, pilihan raya ini suatu peluang bagi rakyat untuk mengubah kerajaan daripada pihak tentera kepada pemerintahan demokrasi.

"Namun pihak tentera mempunyai kelebihan 250 senator dalam tangan mereka dan mereka masih boleh mengerahkan jentera negara bagi menyokong parti-parti yang menyokongnya," ujar Encik Chaturon.

Pihak berkuasa menyatakan sekitar 60 daripada lebih 100 parti dijangka mendaftarkan calon-calon mereka. Sekitar 500 kerusi dijangka dipertandingkan dalam pilihan raya demokratik pertama di negara itu sejak 2011.

Pilihan raya itu adalah yang pertama sejak tentera Thailand menggulingkan pentadbiran Yingluck Shinawatra hampir lima tahun lalu, merombak perlembagaan, membendung kelantangan pembangkang dan melantik sekutu-sekutu tentera menjadi anggota kerajaan. 

Sumber : Agensi berita/MM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita