Skip to main content

Dunia

Pencuri bersiri dipenjara 13 bulan selepas rompak kedai mewah Marina Bay Sands, pasar malam

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang digambarkan seorang hakim sebagai mempunyai "rekod yang sangat buruk" dijatuhi hukuman penjara atas beberapa kesalahan mencuri termasuk dari kedai-kedai jenama mewah di Marina Bay Sands.

Muhammad Fazil Abd Rahman, rakyat Singapura berusia 45 tahun, dihukum penjara 13 bulan pada Selasa (26 Mac)dengan hukuman penjara tambahan selama 13 hari selepas dia mengaku bersalah atas lima tuduhan mencuri serta mencuri di tempat tinggal.

Hukuman tambahan dijatuhkan ke atas mereka yang mengulangi kesalahan semasa di bawah perintah diringankan hukuman daripada sabitan sebelumnya.

Lagi sembilan tuduhan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

APA YANG BERLAKU

Mahkamah diberitahu pada 16 Nov 2021, Fazil mencuri pelbagai jenis peranti elektronik kecil seperti alat pengecas kuasa atau 'power bank' dan 'earpiece' bernilai lebih S$850 keseluruhannya dari sebuah gerai pasar malam di Tampines.

Dia melakukan demikian pada kira-kira pukul 11.00 malam selepas gerai tersebut ditutup dan barangan itu ditinggalkan tanpa pengawasan dengan hanya ditutup kanvas.

Sejurus menyedari barangan tersebut hilang, pengurus gerai tersebut menlihat rakaman CCTV khemah itu dan mengesan kesalahan Fazil, lalu melaporkannya ke polis.

Fazil melakukan kesalahan itu semasa dia di bawah perintah diringankan hukuman selepas dibebaskan dari penjara.

Kira-kira enam bulan kemudian, pada Mei 2023, Fazil ternampak sebuah iPhone - bernilai sekitar S$1,600 - dibiarkan di sebuah bangku kedai kasut di Victoria Street. Sedang pemilik telefon tersebut sibuk mencuba kasut, Fazil mengambil telefon itu lalu meninggalkan kedai berkenaan.

Kemudian, ketika keluar dengan ikat jamin peribadi daripada kesalahan Mei 2023, Fazil mencuri pula di Marina Bay Sands pada 3 Jun 2023.

Dia telah ke kedai Giorgio Armani pada 8.00 malam, mengambil dua dompet bernilai kira-kira S$1,300 secara keseluruhannya, lalu memasukkannya ke dalam beg dan meninggalkan kedai tanpa membayar.

Dia selanjutnya ke kedai Gucci dan Chanel, di mana dia mencuri tali pinggang berharga S$890 dan sebotol minyak wangi bernilai S$635.

Di kedai keempat pula, iaitu kedai Armani Exchange, Fazil ditahan kerana mencuri dua pasang cermin mata dan sebuah beg tangan kecil.

Kertas mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan bagaimana dia ditangkap dan nilai barangan tersebut.

Bagi setiap kesalahan mencuri, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Bagi setiap tuduhan mencuri di tempat tinggal, Fazil boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan juga dikenakan hukuman denda.
 
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita