Skip to main content

Dunia

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine: Bagaimana kesannya terhadap S'pura?

Anggaran Waktu Membaca:
Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine: Bagaimana kesannya terhadap S'pura?

Bangunan yang terbakar akibat pengeboman di bandar timur Ukraine, Chuguiv pada 24 Februari 2022. (Gambar: Aris Messinis/AFP)

Diterbitkan : 03 Mar 2022 08:51PM Dikemas Kini : 03 Mar 2022 08:52PM

SINGAPURA: Penduduk dan perniagaan di Singapura mungkin menyaksikan kenaikan pada harga sesetengah barangan di tengah-tengah pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Harga minyak petrol dan diesel serta kos tenaga elektrik akan naik akibat peningkatan kos tenaga global disebabkan oleh krisis di Ukraine, kata Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong di Parlimen pada Isnin (28 Feb).

Singapura mengimport sebahagian besar keperluan tenaganya. Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, tambah Encik Gan, terdapat lonjakan pada harga minyak dan gas asli.

Krisis itu akan menjejas lanjut rantaian bekalan sejagat kerana Rusia dan Ukraine adalah pengeksport utama barangan keperluan seperti gandum serta logam seperti nikel dan paladium, kata Encik Gan.

Mediacorp menemu bual beberapa pakar tenaga dan kewangan untuk mengetahui bagaimana pencerobohan di Ukraine akan menjejas penduduk Singapura.

Apa kaitan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan kos tenaga sejagat yang lebih tinggi?

Rusia merupakan sebuah negara yang kaya dengan sumber. Kira-kira 40 peratus gas asli yang digunakan di Eropah datang dari Rusia, kata Dr David Broadstock, Ketua Bahagian Ekonomi Tenaga di Institut Kajian Tenaga di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Rusia juga menduduki tangga tiga teratas bagi pengeluar dan pengeskport minyak.

"Ini bermakna bahawa Rusia merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan tenaga sejagat untuk dua bahan api. Rusia, yang membentuk kira-kira 50 peratus pengunaan tenaga utama," terang beliau.

Pencerobohan itu memberi tekanan kepada aliran bekalan ini, sama ada disebabkan gangguan rantaian bekalan fizikal, sekatan diperketatkan atau sekatan perdagangan lain, kata Dr Broadstock.

"Untuk memenuhi tahap penggunaan tenaga yang sama, negara-negara perlu meningkatkan pembelian daripada negara lain selain Rusia," kata beliau.

"Dengan mengandaikan Rusia berada di dalam pasaran kerana ia adalah lebih murah untuk membeli daripada mereka, apabila mereka tiada di dalam pasaran, ini bermakna peralihan kepada pengeluar lain yang berkemungkinan berharga lebih tinggi - justeru kos meningkat."

Bagaimana keadaan ini menyebabkan harga lebih tinggi di Singapura?

Kesan krisis di Ukraine melangkaui harga minyak dan gas memandangkan minyak dan gas adalah "sumber perantaraan" dalam rantaian bekalan tenaga yang lebih luas, kata Dr Broadstock.

Kenaikan pada harga minyak bermakna pembikinan petrol dan diesel bertambah mahal, jelas beliau.

Dr Broadstock menarik perhatian meskipun Singapura sedang beralih kepada pengunaan kenderaan tenaga bersih, petrol dan diesel masih digunakan secara meluas.

"Mengikut logik yang sama, kenaikan pada harga gas asli akan menjadikan kos menjana tenaga elektrik lebih tinggi. Mungkin ada sedikit ruang untuk menangani peningkatan ini pada jangaka pendek," kata beliau.

Profesor Madya Chen Tao daripada Sekolah Perniagaan Nanyang di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berkata kenaikan harga petrol dan elektrik sebahagiannya boleh dikaitkan dengan "harga melambung" bahan-bahan mentah termasuk minyak mentah dan gas asli.

Selain itu, permintaan untuk petrol dan tenaga elektrik terus meningkat sedang ekonomi sejagat pulih daripada pandemik COVID-19, kata beliau.

Apakah barang keperluan lain yang akan turut terjejas secara langsung?

Prof Madya Chen berkata konflik itu akan memburukkan lagi tekanan pada bekalan global kerana Rusia dan Ukraine adalah pengeksport utama bagi barangan keperluan seperti gandum, logam, baja, gas nadir dan beberapa bahan mentah perindustrian yang lain.

"Rusia dan Ukraine sama-sama menghasilkan hampir seperempat daripada gandum di dunia, dan juga merupakan pengeksport utama barli, jagung serta minyak biji bunga matahari, antara lain," tambahnya.

"Krisis antara kedua-dua negara itu akan mengganggu harga dalam pasaran makanan sejagat dengan menaikkan kos pengeluaran pertanian yang berkaitan dengan bahan api dan baja, memusnahkan hasil tuaian petani di samping meningkatkan harga pengangkutan yang relevan."

Rusia menyumbang 49 peratus daripada eksport nikel, sejagat manakala 42 peratus paladium, 26 peratus aluminium dan 13 peratus platinum di seluruh dunia. Rusia juga merupakan pengeksport utama dalam bahan keluli dan tembaga.

Ukraine pula membekalkan 70 peratus neon di dunia, 40 peratus kripton dan 30 peratus xenon, yang merupakan bahan-bahan penting untuk membuat cip mikro.

Beberapa barang keperluan seperti bahan pertanian ditumbuh di kedua-dua Rusia dan Ukraine, kata Penolong Profesor Kewangan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Aurobindo Ghosh.

Beliau menambah Ukraine merupakan antara pembekal bijirin makanan yang terbesar selepas Amerika Syarikat.

"Harga makanan boleh menyaksikan kenaikan tiga kali ganda akibat peningkatan pada harga bahan api, pengurangan pengeluaran dek konflik dan cerutan penghantaran serta masalah rantaian bekalan yang berkaitan dengan sekatan-sekatan yang berlaku," jelasnya.

"Menggantung sementara pengilangan dan pengeluaran akan membawa kepada harga yang lebih tinggi. Tambahan pula, kos gas asli yang lebih tinggi, iaitu komponen utama dalam baja, mungkin melonjakkan harga tanaman," kata Dr Ghosh.

Bila kesannya akan dirasai?

Dr Gosh berkata walaupun kebanyakan negara sudah ada simpanan strategik untuk makanan dan bekalan penting lain, di negara-negara yang kekurangan tanah seperti Singapura, "ia adalah sukar untuk berbuat demikian buat tempoh yang lama, terutama sekali bagi barangan mudah rosak".

"Harga petrol (yang meningkat) akan dirasai di stesen-stesen minyak tidak lama lagi, begitu juga dengan kenaikan harga bagi sesetengah barangan makanan, sekiranya tiada tindakan diambil," kata beliau.

"Meskipun demikian, sudah ada langkah-langkah yang diambil untuk mengeluarkan lebih banyak simpanan minyak strategik oleh kedua-dua negara individu seperti Amerika Syarikat dan juga pengeluar OPEC+."

Bagaimana rakyat Singapura dan peniagaan harus bersiap sedia?

Dr Ghosh berkata rakyat Singapura harus berhemat ketika berbelanja dan membuat keputusan tentang penggunaan mereka. Mereka juga dinasihatkan agar tidak cemas dengan masalah bekalan kerana Singapura mempunyai rantaian bekalan yang cukup pelbagai.

Ia juga penting untuk perniagaan lebih kecil melabur dalam sumber bekalan alternatif sekiranya gangguan berlarutan, kata beliau.

"Akhir sekali, penggubal dasar di seluruh dunia juga mungkin menyemak semula pendirian terhadap pengetatan dasar kewangan atau kenaikan kadar faedah di tengah-tengah kesan jangka panjang geopolitik terhadap pengguna dan pelabur,” tambahnya.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita