Skip to main content

Dunia

Penceramah bebas Malaysia terlibat kes sebar video seks isteri ditarik balik pentauliahannya

Anggaran Waktu Membaca:
Penceramah bebas Malaysia terlibat kes sebar video seks isteri ditarik balik pentauliahannya

(Gambar hiasan: Bill Oxford/Unsplash)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 09:04PM Dikemas Kini : 07 Jul 2025 07:38AM
KUALA KRAI: Tauliah penceramah bebas yang didakwa menyebarkan video seks difahamkan sudah ditarik balik sebelum ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau bagaimanapun berkata masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.

“Maklumat yang diberikan kepada saya… difahamkan dia pernah diberikan tauliah kemudian tauliahnya ditarik balik.

“Kita perlu berikan kepercayaan kepada pihak polis dan lebih baik kita tunggu siasatan itu dijalankan supaya tidak ada mana-mana pihak yang mungkin teraniaya,” katanya selepas merasmikan Wacana Dakwah Al-Falah Memacu Ummah MADANI bersama Institusi Pondok di Pondok Sungai Durian hari ini (6 Jul).

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya sedang menyiasat kes penyebaran video seks oleh seorang penceramah bebas menyusuli laporan diterima daripada seorang wanita yang juga isteri kedua lelaki itu pada 16 Jun lalu.

Wanita itu mendakwa penceramah berkenaan menyebarkan video seks beliau dan madunya serta beberapa wanita lain, namun lelaki itu diberikan ikat jamin polis sementara proses melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Encik Mohd Na’im turut menyeru golongan agamawan di negara ini supaya menggunakan ilmu pengetahuan untuk mendidik dan membawa masyarakat ke jalan yang benar, serta tidak melakukan perkara bertentangan dengan Islam.

“Mana-mana penceramah yang telah diberikan tauliah dan didapati melakukan sesuatu perkara yang boleh mencemarkan institusi agama, sudah tentu pihak berkuasa agama negeri akan menarik semula tauliah berkenaan.

“Saya minta masyarakat sebelum menjemput mana-mana penceramah, semak dahulu dengan jabatan mufti atau jabatan agama negeri untuk pastikan individu itu ada tauliah atau tidak,” katanya.

Sementara itu, Encik Mohd Na’im turut menyarankan institusi pondok di negara ini supaya berdaftar dengan pihak berkuasa agama negeri bagi memudahkan mereka menerima bantuan kerajaan termasuk penyenggaraan bangunan.

“Sebelum mereka ini berdaftar, semua aspek bangunan akan dilihat. Pihak bomba akan melihat dari segi pendawaian elektrik dan sebagainya sebelum memberi kebenaran mendiami bangunan itu.

“Apabila berdaftar, lebih mudah untuk mereka menerima bantuan daripada kerajaan dan kita juga akan tengok dari sudut kurikulum serta silibus supaya ia dapat diselaraskan,” katanya.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita