Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Pencemaran udara Pasir Gudang: Keadaan terkawal; tidak perlu tutup sekolah

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata tiada keperluan bagi sekolah di Pasir Gudang ditutup buat masa ini susuli gangguan kesihatan yang membelenggu warga sekolah di kawasan berkenaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran udara Pasir Gudang: Keadaan terkawal; tidak perlu tutup sekolah

Sekolah-sekolah diarah tutup sementara di kawasan Pasir Gudang (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 01 Jul 2019 04:35PM Dikemas Kini : 01 Jul 2019 04:39PM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata tiada keperluan bagi sekolah di Pasir Gudang ditutup buat masa ini susuli gangguan kesihatan yang membelenggu warga sekolah di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada situasi semasa berdasarkan maklumat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau mutu udara di kawasan terlibat.

Sehingga ini, JAS sudahpun membuat pemeriksaan ke atas 72 kilang di kawasan sekitar dan mendapati bacaan gas di kilang-kilang terbabit masih terkawal secara keseluruhannya.

"Saya ingat sekarang ini tidak ada sebab untuk tutup sekolah… kaedah elimination (penghapusan) punca-punca yang berpotensi menyebabkan pencemaran sedang diteruskan oleh JAS bagi mengenal pasti punca utama (gangguan kesihatan),” kata Dr Wan Azizah kepada para wartawan di lobi Parlimen hari ini (1 Jul).

Sesi persekolahan di kesemua 111 sekolah rendah dan menengah di Pasir Gudang yang ditutup sejak Selasa (25 Jun) lepas akibat gangguan pernafasan dan muntah-muntah dalam kalangan pelajar baru dibuka semula semalam.

Namun, 30 pelajar dan guru dari 15 sekolah di Pasir Gudang dirujuk ke klinik kesihatan berikutan mengalami simptom muntah serta pening-pening selepas menghadiri sesi persekolahan semalam.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata pemantauan akan dilakukan setiap masa termasuk penggunaan alat pengesan bahan kimia serta sebuah stesen bergerak untuk mencatat mutu udara.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata kementeriannya melalui Jabatan Pendidikan Negeri mengikuti perkembangan yang berlaku di kawasan terjejas secara dekat dan sebarang keputusan untuk menutup sekolah akan dibuat bersama dengan semua agensi terlibat termasuk kerajaan negeri.

Sumber : Bernama/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa