Pencemaran udara jangka pendek bawa kesan kepada otak
Pendedahan jangka panjang kepada pencemaran udara mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan, termasuk mempercepat penuaan otak dan meningkatkan risiko demensia.
(Gambar: Steven HWG/Unsplash)
BOSTON: Pendedahan jangka panjang kepada pencemaran udara mempunyai banyak kesan terhadap kesihatan, termasuk mempercepat penuaan otak dan meningkatkan risiko demensia.
Namun menurut laporan The New York Times, kini kajian baru menunjukkan bahawa pendedahan jangka pendek terhadap udara yang tercemar, bahkan pada tahap yang secara amnya dianggap sebagai "dapat diterima", boleh merosakkan kemampuan mental pada warga senja.
Para saintis mengkaji 954 lelaki, dengan usia purata 69 tahun, yang tinggal di kawasan Boston. Mereka diuji pada permulaan kajian dan beberapa kali selama tempoh 28 hari berikutnya menggunakan Pemeriksaan Mini Keadaan Mental, atau MMSE, satu kaedah ujian kemampuan kognitif yang digunakan secara meluas.
Ujian tersebut merangkumi soalan-soalan mudah seperti "Sekarang tahun berapa?" dan "Musim apa itu?," dan memberi tugas seperti menghitung mundur setiap tujuh angka bermula dengan 100. Menjawab 25 atau kurang soalan dengan tepat, daripada 30 kesemuanya, menunjukkan demensia ringan.
Sepanjang bulan itu, para penyelidik mengukur tahap zarah PM 2.5 dalam udara. Ini merujuk kepada zarah halus lain dengan ukuran diameter hingga 2.5 mikron, cukup halus untuk memasuki paru-paru dan meresap ke aliran darah.
Tiada tahap PM 2.5 yang selamat, tetapi Agensi Perlindungan Alam Sekitar menganggap mutu udara dapat diterima apabila tahap PM 2.5 berada di bawah 12 mikrogram setiap meter padu. Selama tempoh ujian, tahap purata PM 2.5 di Boston adalah 10.77.
DAPATAN KAJIAN
Menurut laporan The New York Times, PM 2.5 yang lebih tinggi secara konsisten dikaitkan dengan markah ujian yang lebih rendah. Pada beberapa minggu dengan tahap pencemaran udara tertinggi, para peserta 63 peratus lebih cenderung mendapat markah di bawah 25 pada ujian MMSE, berbanding minggu-minggu dengan tahap pencemaran terendah.
Dr Andrea A. Baccarelli, pengarang kanan dan profesor sains sekitaran di Columbia Mailman School of Public Health (Sekolah Kesihatan Awam Columbia Mailman), berkata bahawa kesan jangka pendek ini mungkin boleh dipulihkan.
"Apabila tahap pencemaran udara turun," katanya, "otak pulih semula dan kembali normal. Namun, jika diulang-ulang, episod (pencemaran) ini menghasilkan kerosakan jangka panjang pada otak.
"Sebilangan zarah itu berasal dari sumber semula jadi - seperti garam laut, tanah dan debunga," jelas Dr Baccarelli. "Kita tidak akan bebas sepenuhnya daripada zarah-zarah itu. Tetapi yang dihasilkan oleh manusia jauh lebih buruk. Berita baiknya ialah kita berada pada zaman di mana kita memiliki teknologi untuk mengurangkan dengan lebih jauh pencemaran udara."
ASPIRIN BANTU LAWAN KESAN PENCEMARAN?
Dalam satu dapatan yang digambarkan para penyelidik sebagai "menarik", mereka menemui bahawa lelaki yang mengambil NSAID - aspirin dan ubat antiradang bukan steroid yang lain - sebahagiannya dilindungi daripada kesan kognitif negatif akibat pencemaran. Mereka membuat andaian bahawa NSAID dapat mengurangkan tindak balas keradangan terhadap bahan pencemar di bahagian otak dan sistem saraf.
"Ini adalah kajian yang mengagumkan," kata Dr Robert M. Bilder, seorang profesor psikiatri dan psikologi di University of California, Los Angeles, yang tidak terlibat dalam penyelidikan itu.
Namun kata beliau, kajian itu adalah kajian pemerhatian dan bukan ujian rambang. Maka itu ia tidak membuktikan sebarang sebab dan akibat. Tambahan lagi, ia hanya melibatkan lelaki kulit putih yang berusia, yang kebanyakannya mempunyai berat badan berlebihan atau mempunyai sejarah merokok.
Dr Bilder menarik perhatian bahawa "kajian ini mendedahkan interaksi yang berkemungkinan penting antara penggunaan NSAID dan pendedahan terhadap risiko sekitaran. Kita memerlukan ujian klinikal terkawal dan penyelidikan asas lebih lanjut untuk menentukan mekanisme di mana NSAID boleh berfungsi”.
Dr Baccarelli bersetuju.
"Saya ingin melakukan ujian rambang untuk melihat apakah ada manfaat sebenar," katanya kepada The New York Times.
Namun buat masa ini, “apa sahaja yang menggalak gaya hidup sihat membantu melindungi daripada pencemaran udara. Makanan yang sihat membantu. Senaman fizikal juga membantu. Tetapi saya tidak akan memberitahu sesiapa untuk mengambil aspirin untuk melindungi diri daripada pencemaran udara."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.