Skip to main content

Dunia

Pencemaran udara di Eropah masih ragut 300,000 nyawa setahun: Laporan

Jumlah kematian pramatang angkara pencemaran udara zarah halus merosot 10 peratus setiap tahun di seluruh Eropah, namun musuh dalam selimut itu masih menyumbang sebanyak 307,000 kes kematian pramatang setahun, menurut Agensi Sekitaran Eropah (EEA) pada Isnin (15 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran udara di Eropah masih ragut 300,000 nyawa setahun: Laporan

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 15 Nov 2021 10:00AM

COPENHAGEN: Jumlah kematian pramatang angkara pencemaran udara zarah halus merosot 10 peratus setiap tahun di seluruh Eropah, namun musuh dalam selimut itu masih menyumbang sebanyak 307,000 kes kematian pramatang setahun, menurut Agensi Sekitaran Eropah (EEA) pada Isnin (15 Nov).

Jika garis panduan mutu udara terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dipatuhi anggota Kesatuan Eropah (EU), jumlah kematian yang dilaporkan pada 2019 dapat dikurangkan, menurut satu laporan EEA.

Kematian yang berhubung kait dengan bahan halus - sekecil 2.5 mikrometer atau PM2.5 - dianggarkan sebanyak 346,000 pada 2018.

Kemerosotan ketara dalam jumlah kematian pada tahun-tahun berikut sebahagiannya disebabkan oleh keadaan cuaca lebih baik. Namun ia sebahagian besar disebabkan oleh peningkatan progresif dalam mutu udara di seluruh benua itu, menurut pusat data pencemaran udara Kesatuan Eropah.

Pada awal tahun 1990-an, zarah halus yang boleh menembusi jauh ke dalam paru-paru, menyumbang kepada hampir sejuta kematian pramatang di 27 negara anggota EU, menurut laporan itu.

Angka itu berkurangan sebanyak lebih separuh kepada 450,000 menjelang 2005.

Pada 2019, partikel halus menyebabkan 53,800 kematian pramatang di Jerman, 49,900 di Itali, 29,800 di Perancis dan 23,300 di Sepanyol.

Sebanyak 39,300 kematian dilaporkan di Poland, iaitu jumlah tertinggi bagi setiap penduduk.

Dalam kalangan kanak-kanak, pencemaran udara boleh membahayakan perkembangan paru-paru, menyebabkan jangkitan pernafasan dan memburukkan lagi penyakit semput.

ANGKA KORBAN SEJAGAT 7 JUTA

Sekalipun situasi bertambah baik, EEA memberi amaran pada September lalu bahawa kadar pencemaran di kebanyakan negara EU masih melebihi had disarankan, sama ada mengikut garis panduan Eropah atau sasaran WHO yang lebih tinggi.

Menurut badan kesihatan PBB, pencemaran udara menyebabkan 7 juta kematian pramatang setiap tahun di merata dunia - iaitu tahap sama seperti merokok dan tabiat pemakanan yang buruk.

Pada September, perangkaan yang membimbangkan itu mendorong WHO untuk mengetatkan had yang disyorkan ke atas bahan pencemar udara utama buat kali pertama sejak 2005.

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita