Skip to main content

Dunia

Pencemaran udara capai paras bahaya di 6 lokasi Indonesia, Pekanbaru catat bacaan PSI jangkaui 300

Pencemaran udara mencapai paras bahaya di enam lokasi di Indonesia pada Jumaat (28 Ogos), dengan Pekanbaru di Riau mencatatkan bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) tertinggi iaitu 835.

Anggaran Waktu Membaca:
Pencemaran udara capai paras bahaya di 6 lokasi Indonesia, Pekanbaru catat bacaan PSI jangkaui 300

Para penunggang motosikal melalui jalan yang diselubungi jerebu di Palangkaraya, Kalimantan Tengah, pada 20 Ogos 2026, ketika asap daripada kebakaran hutan dan tanah menjejas jarak penglihatan serta mutu udara. (Gambar: AFP/Reina)

Diterbitkan : 28 Aug 2026 08:57PM Dikemas Kini : 29 Aug 2026 08:26AM
  • Pencemaran udara di enam lokasi Indonesia, termasuk Pekanbaru dan Kalimantan Tengah, mencapai paras bahaya pada 28 Ogos akibat kebakaran hutan dan tanah.
  • BNPB menggesa penduduk mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka, manakala BMKG melaporkan asap tebal bergerak ke arah Malaysia.
  • Kawasan terjejas melebihi 75,000 hektar, dengan Kalimantan Barat paling teruk terjejas, dan jumlah titik panas meningkat di beberapa wilayah.
  • Polis Indonesia meningkatkan siasatan, dengan 89 suspek individu dikenal pasti dan kemungkinan penglibatan syarikat sedang disiasat.
Dijana oleh AI
JAKARTA: Pencemaran udara mencapai paras bahaya di enam lokasi di Indonesia pada Jumaat (28 Ogos), dengan Pekanbaru di Riau mencatatkan bacaan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) tertinggi iaitu 835. Ini bersamaan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) dalam kategori berbahaya, iaitu menjangkaui 300.

Menurut data Kementerian Alam Sekitar Indonesia, lima lagi lokasi yang mencatatkan paras bahaya terletak di Kalimantan Tengah.

Katingan mencatatkan bacaan ISPU 456, diikuti Kotawaringin Timur (364), Gunung Mas (341), Murung Raya (319) dan Jekan Raya (301).

Di bawah klasifikasi ISPU Indonesia, bacaan 301 dan ke atas dikategorikan sebagai bahaya.

Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Berton Panjaitan menggesa penduduk yang terjejas akibat asap kebakaran hutan dan tanah supaya mengurangkan kegiatan di luar.

"Jika aktiviti luar tidak dapat dielakkan, sila terus memakai pelitup muka. Mereka yang terjejas akibat asap perlu segera mendapatkan bantuan di pusat kesihatan masyarakat, klinik atau hospital terdekat," kata Encik Berton.

ASAP DIKESAN BERGERAK KE ARAH MALAYSIA

Menurut Encik Berton, ramalan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia menunjukkan asap tebal terkumpul di beberapa kawasan di Kalimantan Tengah dan Kalimantan Barat, dengan angin membawa bahan pencemaran ke arah utara.

Peta yang dipaparkan semasa sidang media turut menunjukkan asap dari beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan bergerak ke arah utara menuju Malaysia.

Enam wilayah kekal menjadi keutamaan dalam usaha menangani kebakaran hutan dan tanah, iaitu Riau, Jambi dan Sumatera Selatan di Sumatera, serta Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Jumlah titik panas meningkat di tiga daripada enam wilayah tersebut.

Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan paling ketara, daripada 412 kepada 4,359 titik panas.

Di Riau, jumlahnya meningkat daripada 139 kepada 207, manakala Jambi mencatatkan peningkatan daripada 14 kepada 56.

Sebaliknya, jumlah titik panas di Kalimantan Barat berkurangan sebanyak 1,083 kepada 1,742, manakala Kalimantan Selatan turun sebanyak 180 kepada 899 dan Sumatera Selatan berkurangan sebanyak 24 kepada 1,151.

LEBIH 75,000 HEKTAR TERJEJAS

Anggaran kawasan yang terjejas akibat kebakaran di enam wilayah berkenaan melebihi 75,386 hektar.

Kalimantan Barat mencatatkan kawasan terjejas terbesar, iaitu lebih 38,310 hektar, diikuti Riau dengan lebih 16,465 hektar dan Kalimantan Selatan melebihi 10,095 hektar.

Dalam perkembangan berasingan, polis Indonesia menyatakan jumlah suspek berkaitan kes kebakaran hutan dan tanah meningkat daripada 72 kepada 89 orang susulan siasatan yang dipertingkatkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Jenayah Khas) Polis Republik Indonesia Mohammad Irhamni berkata semua suspek yang dikenal pasti setakat ini merupakan individu.

Bagaimanapun, penyiasat sedang meneliti bukti bagi menentukan kemungkinan penglibatan syarikat.

Sebanyak 189 laporan polis sudah dibuat setakat ini.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita