Pencemaran ammonia Sungai Sayong jejas bekalan air 17,000 keluarga di Kulai
Insiden "paras ammonia yang tinggi" dalam Sungai Sayong sudah menjejas bekalan air bagi sekitar 17,000 keluarga di bandar Malaysia Kulai, menurut laporan The Star.
Gambar fail Sungai Sayong. (Gambar: Sumisha Naidu)
JOHOR BAHRU: Insiden "paras ammonia yang tinggi" dalam Sungai Sayong sudah menjejas bekalan air bagi sekitar 17,000 keluarga di bandar Malaysia Kulai, menurut laporan The Star.
Sungai tersebut, yang membekalkan air mentah ke Sungai Johor, terjejas setelah sebuah kolam air di pusat biokomposit bersebelahan dengan kilang penapisan minyak kelapa sawit pecah, sekaligus mengakibatkan air tercemar mengalir ke sungai tersebut. Demikian menurut pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Johor, Pelaburan, dan Utiliti Jimmy Puah Wee Tse.
Kedua-dua loji rawatan air Sayong terpaksa ditutup kerana ia "tidak boleh memproses air mentah disebabkan oleh paras ammonia yang tinggi," tambahnya, seperti ditukil oleh The Star.
Air tercemar itu menyebabkan tiga loji rawatan air - Semangar, Sungai Johor dan Tai Hong - untuk menggantung operasi pada Khamis.
Pihak berkuasa sudah mengambil "tindakan sewajarnya" terhadap kilang penapisan minyak kelapa sawit dengan membatalkan serta-merta lesen pemisahan air mentah syarikat itu dan mengeluarkan notis amaran menyusuli insiden tersebut, menurut Encik Puah.
"Kerajaan Johor tidak akan berkompromi terhadap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan syarikat yang terlibat dalam insiden itu atau denda yang perlu dibayar, tambah Malaysiakini.
Kulai merupakan satu-satunya kawasan yang terjejas, menurut Encik Puah.
Pencemaran ammonia itu turut menjejas bekalan air ke Singapura.
Bekalan air ke Singapura terganggu setelah Johor River Waterworks yang dikendalikan PUB menghentikan operasi rawatan air kerana “paras ammonia yang tinggi dalam Sungai Johor”, menurut agensi air Singapura itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.